
Pelakon dan pengacara terkenal, Neelofa baru-baru ini memohon orang ramai untuk berhenti mengecam adiknya, Ameera Khan dan pelakon kontroversi, Jefri Nichol yang kini difahamkan sedang hangat menjalinkan hubungan cinta.
Permintaan itu dibuat selepas ada pihak yang meluahkan rasa kurang senang dengan pasangan itu terlalu kerap mempamerkan kemesraan mereka di media sosial, selain kisah peribadi Jefri yang dikatakan penuh dengan kontroversi.
Menurut Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor (37) berkata, beliau sudah menjalankan tanggungjawab sebagai kakak dengan memberi nasihat kepada Ameera, namun enggan berkongsi secara terperinci mengenai perkara itu.
“Saya tidak boleh berkongsi dengan orang luar apa yang saya lakukan. Cuma sebagai kakak, saya sudah melakukan bahagian saya dan tahu apa yang sesuai untuk dilakukan terhadap adik saya”
“Pada masa sama, saya mahu minta semua, jangan mengecam atau tulis yang buruk-buruk. Sekalipun kamu suka atau tidak suka, tolong selitkan doa yang baik,” katanya.
Tambahnya, beliau percaya dengan takdir Allah dan setiap perancangan boleh diubah menjadi sesuatu yang baik jika ramai yang mendoakan hal baik serta menegaskan bahawa dirinya juga mahu yang terbaik untuk dirinya dan adik-beradik.
Walaupun kisah percintaan Ameera terus menjadi topik hangat dan bualan orang ramai, Neelofa menjelaskan bahawa dia tidak terganggu dengan kecaman yang dilemparkan.
“Alhamdulillah tak mengganggu saya langsung. Namun tak bermakna saya tak peduli apa yang orang tegur dan nasihat. Kita ambil cakna dan benda itu saya rasa tak patut kita kongsikan kepada khalayak mengenai apa yang kami buat atau bincangkan,” jelasnya.
Jelas bekas pengacara rancangan MeleTOP itu lagi, keluarganya mempunyai cara tersendiri dalam menyelesaikan setiap isu yang berlaku dengan berhemah dan beradab.
“Walaupun di mata orang belum cukup bagus, tapi InsyaAllah kita tahu apa yang terbaik untuk dia,” katanya.
Terdahulu, Ameera Khan meraih perhatian warga internet apabila dilihat duduk di riba Jefri Nichol sambil berpelukan mesra dalam satu hantaran di media sosial. Apa yang lebih mengejutkan, aksi spontan Jefri yang mengucup pipi Ameera sambil merangkul erat dalam pelukannya mengundang rasa kurang senang orang ramai.
Sebelum ini, Jefri pernah berdepan kecaman selepas membuat pendedahan pernah meniduri lebih 20 wanita, selain berlaku curang terhadap pasangannya. Ameera dan Jefri dilapor pernah menjalin hubungan cinta dan hubungan mereka dikhabarkan putus sekitar Oktober 2021 selepas wanita itu tidak lagi mengikuti Jefri di Instagram.
Namun, pada penghujung Mac tahun 2024, percintaan mereka dikatakan kembali bertaut selepas pelakon itu menghubungi Ameera menerusi satu panggilan video.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.