
Usaha seorang graduan ini untuk membanggakan kedua orang tuanya, akhirnya berbayar apabila berjaya menerima dua anugerah akademi di majlis konvoksyen.
Dr. Abu Hassan Nordin telah melalui jejak pendidikan yang mengagumkan sehingga berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen UTM kali ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Seimbangkan Pelajaran & Tanggungjawab Dalam MPP, Danial Iskandar Dinobatkan Anugerah Pelajaran Diraja UTM
Apa yang lebih membanggakan, graduan berusia 30 tahun ini merupakan salah seorang penerima Anugerah Pascasiswazah Terbaik dan Anugerah Canselor yang telah disempurnakan oleh DYMM Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Canselor UTM.
Merupakan graduan Doktor Falsafah Bidang Penyelidikan:Kejuruteraan Kimia, Hassan menzahirkan harapan agar kejayaan cemerlang yang dikecapinya itu dapat membanggakan ibu bapanya.
“Saya tak pernah terpaling cemerlang sejak sekolah. Harap ini dapat membanggakan mak dan abah.
“Anugerah Canselor, Anugerah Pascasiswazah Terbaik,” coretnya ringkas menerusi sebuah hantaran video di platform TikTok miliknya.
Hantaran tersebut kini meraih lebih 120 ribu jumlah penonton dan juga lebih 11 ribu tanda suka di aplikasi tersebut.
Tahniah REMAJA ucapkan!
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: TikTok Hassan Nordin
Saya #RemajaMalaysia : Peluang Sampaikan Berita Kepada Seluruh Malaysia Satu Penghargaan Buat Hawa Rizwana – Isu Digital Ogos 2022

Isi Kandungan
ToggleTugas sebagai seorang penyampai berita dan pengacara lebih daripada sekadar penghias layar kaca. Roda kehidupan mungkin sudah berganjak ke dunia digital namun beban kredibiliti dan integriti yang digenggam oleh wajah-wajah penyampai generasi baharu masih teguh dipertahankan sehingga kini. Itulah sebab si cantik manis dan bijak ini mampu tersenyum lebar apabila rezeki bergelar seorang penyampai berita jatuh juga di tangannya. REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2022, Hawa Rizwana.
arahan seni FZ AIMMAN teks RUZIANA ZAINAL penyelaras REMAJA jurufoto REMY OTHMAN penerbit video MAYA DEEN & SHERFIQA SHARIDAN penyunting video AMIRUL FITRI susunan grafik AZNIZA AZIZ solekan AYANG KAMELL persalinan NEW BALANCE
Semakin hari semakin laris. Begitulah tanggapan pertama apabila bersua muka dengan pemilik nama penuh Hawa Rizwana Ahmad Redzuan di set penggambaran kami
Gaya pertuturan, penyampaian dan lentur suaranya ketika bersiaran mengendalikan segmen Buletin Utama, Wanita Hari Ini dan Hello Doktor menerusi saluran TV3 mudah untuk dikenalpasti sebaik telinga menangkap suaranya.
Penegasan dalam setiap butiran informasi melakarkan sebuah pesona buat personaliti televisyen muda ini. Sesibuk mana pun, Hawa Rizwana yang kami kenali masih sama seperti dahulu. Seboleh mungkin, dia ingin menyelitkan ke dalam jadualnya aktiviti-aktiviti yang mampu memberi titik tambah kepada dirinya. Ini termasuklah untuk menerima pelawaan REMAJA dengan hati terbuka sebagai wajah kempen Saya #RemajaMalaysia buat tahun ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Saya #RemajaMalaysia : Titian 6 Tahun KHAI BAHAR Penuh Makna – REMAJA
Cabaran Menjadi Penyampai Berita
Bercerita mengenai tugas hakikinya dalam dunia penyiaran tempatan, satu perkara yang dititik beratkan oleh Hawa adalah misi menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat kepada masyarakat.
“Nawaitu tu sangat penting. Saya tidak menafikan wujudnya cabaran tersendiri apabila menjadi wajah tontonan jutaan rakyat Malaysia. Bukan sahaja berita yang kita sampaikan itu dihadam oleh mereka, malah cara membawa diri, pertuturan sampailah ke lirik mata pun satu-persatu dianalisa.
“Saya rasakan mereka sedar sahaja personaliti mana-mana penyampai berita di hadapan kamera dan di luar set itu ada lainnya. Namun sebagai penyampai berita, saya juga sedar saya membawa jenama slot berita atau program yang saya wakili dan kredibiliti program-program kendalian saya itu harus dijaga.
“Jika kita tidak menjaga keperibadian, bagaimana kita mampu membuatkan orang percaya dengan berita yang disampaikan.
“Seperkara lagi, saya juga sentiasa perlu memastikan penyampaian berita dilakukan secara matang dan memenuhi jangkaan penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, baik daripada usia remaja hinggalah ke peringkat dewasa.
“Untuk mendapatkan kepercayaan mereka adalah satu bentuk cabaran bagi saya,” ujarnya Hawa sewaktu mendapat sentuhan riasan Ayang Kamell pada hari tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN : Saya #RemajaMalaysia : Kedudukan 40 Terbaik Miss World 2021 Dikenang Dr. Lavanya Sivaji – REMAJA
Minda Terbuka Luas
Setelah terlibat dalam beratus-ratus episod di slot berita dan program temubual, tentunya ada di antara kandungan yang berbekas di minda dan jiwa Hawa. Kongsinya, pengalaman paling tidak dapat dilupakan adalah sewaktu perlu membuat liputan mengenai sebuah persatuan down sindrom tempatan. Peluang mengenali para ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa ini membuka luas minda Hawa mengenai sentimen perpaduan di Malaysia.
“Walaupun berlainan agama dan bangsa, mereka kenal antara satu sama lain, saling membantu kerana dan tidak kekok berinteraksi. Siapa sangka, kekurangan yang ada pada anak masing-masing menjadi kelebihan dalam pergaulan sesama kita. Tugasan tersebut membolehkan saya jelas melihat wujudnya perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia dan ia merupakan salah satu pengalaman paling berharga.”
Seronoknya apabila berkhidmat di sebuah stesen televisyen tempatan buat Hawa melebihi nilai glamor yang datang dengannya. Ya, tidak dinafikan wajah Hawa menjadi tatapan jutaan mata dan kehidupan pantas berubah apabila perlahan-lahan mendaki puncak populariti. Begitupun, sekali lagi Hawa berpaling kepada intipati kandungan program yang dikendalikannya apabila kami bertanyakan tentang kelebihan menjadi seorang figura awam.
“Banyak perkara yang boleh saya pelajari setiap hari. Pengikut saya pasti tahu mengenai penglibatan saya dalam landasan pendidikan di mana saya meneruskan pengajian di peringkat sarjana. Namun apabila difikirkan semula, selama ini; saya bukan saja belajar dalam kepompong kelas semata tetapi saya turut belajar sewaktu bertugas serta membuat liputan.
“Contoh paling mudah, kita ambil lagu raya lah. Sewaktu menyambut Aidilfitri dan Tahun Baru Cina; mudah untuk kita mengenal pasti lagu perayaan masing-masing. Tetapi bila tiba perayaan Deepavali, majoriti tidak begitu familiar dengan lagu perayaannya. Menerusi tugasan saya di tempat kerjalah, saya mengutip ilmu baru seperti ini. Saya berpeluang mendalami perkara yang tidak selalu diperkatakan dan kongsikan semula ilmu itu dengan pengikut saya menerusi media sosial,” katanya.
Misi Hawa hanya satu, untuk menyampaikan perkara bermanfaat buat tontonan rakyat Malaysia.
“Hawa sangat berharap agar pemain dunia media dan penyiaran di Malaysia sentiasa berkongsi sesuatu yang memberi inspirasi dan bermanfaat kepada semua. Kedengaran agak klise, tetapi saya masih mempercayai hikmah sekiranya kita ada niat untuk sebarkan kebaikan kepada orang lain walau sekecil manapun,” tambah si cantik berbintang Virgo ini.
Cinta Tersemi Dalam Seni Tarian
Siapa sangka, minat Hawa Rizwana bukan sekadar terletak pada penyampaian berita sahaja tetapi juga dalam dunia seni tari terutamanya tarian tradisional Malaysia.
“Sewaktu di UiTM, saya pernah mewakili universiti untuk pertandingan kesenian peringkat Selangor dan kami berpeluang ke Hungary. Minat inilah yang membuatkan Hawa mengenali kepelbagaian tarian yang kita ada dan gembira membawa nama Malaysia ke luar negara.
“Hawa memang suka mempelajari seni tarian. Sempatlah juga belajar tarian Kabaddi, tarian Kipas Cina dan macam-macam lagi. Itulah yang membuatkan Malaysia unik dan menyeronokkan.
“Bagi Hawa, sebagai generasi baharu; seharusnya kita berfikiran terbuka untuk mempelajari budaya berlainan. Barulah mudah timbul rasa hormat apabila kita faham mengapa ia penting bagi mereka. Secara tidak langsung, dari situlah kita memupuk keharmonian.
“Tidak dinafikan bila hidup dalam era digital, segalanya ingin diperlekehkan atau dipersoalkan. Paling mudah adalah apabila kita memberi ucapan perayaan sehinggakan ada pihak yang beranggapan kita menyokong dan menyambut perayaan agama berbeza. Hakikatnya, kita hanya ingin menghormati budaya sahabat kita yang berlainan kaum dan agama.
“Kadangkala bila dimomokkan berita-berita negatif seperti ini terutamanya di media sosial; pemikiran kita terus berubah negatif juga. Oleh itu, dalamilah dahulu keunikan budaya rakan-rakan kita sebelum terus menjatuhkan persepsi pra-matang,” simpulnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Anak Mekanik Tampil Cemerlang. Dulu Raih Anugerah Emas, Kini Terima Anugerah Pro-canselor

Benih yang baik dicampak ke laut, jadi pulau akhirnya…
Kekangan pembelajaran ketika pandemik Covid-19 tidak mematahkan semangat Chong Jia Xin untuk berjaya dalam pengajiannya. Graduan dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Sistem Komputer) ini cemerlang apabila dia dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pro-Canselor ketika Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang kali ke-17.
Berkongsi mengenai cabaran pengajiannya, “Saya masih ingat lagi, pada waktu itu kami diwajibkan menghadiri kelas secara dalam talian. Ia menyebabkan kekurangan dalam komunikasi secara bersemuka.”
Namun perkara tersebut tidak menjadi satu halangan buat dirinya, sebaliknya Jia Xin menggunakan kaedah tersendiri bagi memahami sesi pembelajaran yang diajar oleh pensyarah. Kongsinya, “Untuk mengatasi masalah itu, saya akan menonton rakaman video kuliah dengan berulang kali dan bertanyakan kepada penyarah jika mempunyai sebarang pertanyaan.”
ARTIKEL BERKAITAN: Cemerlang 8 Kali Anugerah Dekan, William Dinobatkan Sebagai Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UMP
Jia Xin sangat konsisten dalam pengajiannya, dia bukan sahaja mendapat anugerah dekan setiap semester bahkan dia pernah meraih Anugerah Emas ketika mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) sebelum ini. Dia yang aktif dalam bidang penyelidikan turut pernah meraih pingat Perak dalam 12th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX 2022).
Turut aktif dalam bidang kokurikulum, Jia Xin diberi kepercayaan untuk memegang jawatan seperti Ketua Bahagian Teknologi Kejuruteraan Institusi Jurutera Malaysia Seksyen Pelajar, Naib Presiden, Persatuan Bahasa Mandarin, Ketua Peraturan di UMP IEM’VENTION’21 dan lain-lain lagi.
Anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik ini mendedikasikan anugerah tersebut kepada kedua ibu bapanya yang telah banyak berkorban dan memberikan sokongan untuk melihat dia berjaya. Bapanya yang bekerja sebagai seorang mekanik semestinya bangga dengan pencapaian anak perempuannya itu.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
“Fly High Rayyan…” Catat GPA Cemerlang 3.84, Anak sulung Rita Rudaini Raih Anugerah Pengetua MRSM

Baru-baru ini, anak sulung kepada pelakon Rita Rudaini, Airit Rayyan Rizqin sekali lagi meraih perhatian apabila mendapat pencapaian cemerlang dalam pelajaran sekaligus meraih Anugerah Pengetua.
Kejayaan yang menggembirakan tersebut dikongsi sendiri oleh Rita Rudaini (48) menerusi Instagram dan pelakon Mami Jarum itu turut meluahkan rasa bersyukur di atas pencapaian anaknya.
“Alhamdulillah. Rayyan dapat anugerah pengetua lagi hari ini”
“Terima kasih homeroom Rayyan, Mummy Ustazah Nor Faiza, wakilkan untuk Rayyan. Fly high Ryan,” coret Rita menerusi perkongsian gambar di Instagram miliknya.
BACA: Terus Cemerlang! Airit Rayyan Rizqin Raih CGPA 3.99, Rita Rudaini Luah Rasa Syukur


Bak kata pepatah, sejuk perut ibu mengandung. Turut tercatat keputusan Purata Nilaian Gred (GPA) yang diraih Rayyan iaitu 3.842 menunjukkan dia merupakan seorang yang bijak dan sering mencatat rekod cemerlang bukan sahaja dalam lapangan sukan, malah memiliki pencapaian akademik yang mengagumkan.
Terdahulu, Rayyan yang menuntut mengikuti aliran Ulul Albab di Maktab Rendah Sains MARA Sungai Besar meraih GPA 3.99 dan turut disenaraikan sebagai 10 pelajar terbaik bagi Tingkatan Dua pada tahun lalu.
BACA: Rita Rudaini Tak Kisah Anak Jadi Pemain Bola Sepak, Asalkan Dada Terisi Al-Quran, Bijak Akademik.


Dalam pada itu, warga internet turut menitipkan ucapan tahniah buat Rayyan dan Rita serta menjadikan kejayaan diraih remaja itu sebagai inspirasi yang boleh dijadikan contoh untuk rakan sebayanya.
BACA: Rita Rudaini Pernah Menangis Tengah Malam Kerana Bimbang Masa Depan Anak-Anak
Selain itu, Rayyan juga difahamkan telah meleburkan beberapa rekod balapan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sabak Bernam 2024 baru-baru ini. Selain mensasarkan keputusan CGPA 4.0, Rayyan juga berdoa agar berjaya bergelar Huffaz Al-Quran dalam tempoh dua tahun lagi semasa di Tingkatan Lima.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.