Pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Amalina Che Bakri akhirnya mengumumkan yang dia sedang hamil anak pertama hasil perkongsian hidup bersama suami, Alexander Charles.
Wanita berusia 35 tahun ini telah berkongsi berita gembira itu di laman Instagramnya siap dengan gambar menunjukkan perutnya yang semakin membesar. Dalam coretan tersebut juga, dia turut berkongsi pengalaman sebagai bakal ibu untuk pertama kalinya.
“Bekerja berjam-jam dan pada masa yang sama menyiapkan PhD boleh menjadi sukar dan meletihkan. Saya melalui trimester pertama yang sukar sehingga awal trimester kedua (terutamanya dengan morning sickness
dan muntah) sehingga saya kehilangan berat badan.“Keletihan juga memainkan faktor. Apabila memegang pebagai jawatan dan melakukan pelbagai tugas, kadangkala ia boleh menjadi cabaran yang nyata. Perkara-perkara yang dulu boleh saya lakukan tiba-tiba menjadi satu tugas yang sukar,” ujarnya berkongsi perubahan yang dialami saat mengandung ketika trimester pertama dan kedua.
ARTIKEL BERKAITAN: #GirlPower: Dr. Amalina Che Bakri Diundang Ke Pejabat Rasmi Perdana Menteri UK Untuk..
Dr Amalina turut menyebut, kajian diterbitkan dalam jurnal JAMA Surgery menunjukkan pakar bedah berkemungkinan mengalami kesukaran ketika hamil dan melahirkan anak sehingga terpaksa menangguhkan kehamilan mereka untuk mencari masa sesuai.
Namun dia bertuah kerana sang suami sangat teruja apabila mengetahui isterinya mengandung. Menurut perkongsian pelajar terbaik SPM Malaysia pada tahun 2004 ini, Alexander banyak membaca buku mengenai kehamilan.
ARTIKEL BERKAITAN: Dr Amalina Che Bakri Selamat Bernikah Dengan Jejaka Inggeris
“Saya sangat bertuah kerana mempunyai suami yang sangat menyokong untuk melalui perjalanan ini bersama-sama dengan saya. Ibu saya sangat mengagumkan dan juga memastikan saya makan cukup, dan dia membekukan banyak makanan Malaysia yang sedap di dalam peti sejuk sebelum dia terbang pulang ke Malaysia,” kongsinya lagi.
Kini keadaannya semakin baik, Dr Amalina menyatakan keterujaannya untuk berkongsi pengalaman sebagai seorang ibu berdasarkan realiti dan cabaran keseluruhan proses, serta siaran pendidikan tentang kehamilan berdasarkan perubatan yang berasaskan bukti.
Ujarnya menutup kata, “Sungguh mengagumkan bagaimana si kecil ini boleh membawa begitu banyak kegembiraan dalam hidup anda, dan saya menantikan perjalanan baharu yang menarik ini sebagai seorang ibu!”
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kredit sumber & foto: Instagram Dr Amalina Che Bakri