Rutin Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah atau PdPR seakan sudah sebati dengan diri pelajar di Malaysia.
Sepanjang setahun setengah ini, mereka tidak mempunyai pilihan melainkan untuk mengulang kaji secara atas talian.
Bagaimanapun, hasil daripada polling yang pernah dilakukan oleh REMAJA di Instagram, ia menunjukkan para pelajar rata-rata sudah penat dengan rutin ini. Baik pelajar di peringkat sekolah mahupun di universiti, masing-masing berdepan cabaran getir untuk terus bersemangat mengekalkan prestasi akademik.
Justeru, penulis tertarik mendengar cara penyanyi dan pelakon, Wani Kayrie yang cuba mengekalkan fokus semasa belajar di rumah.
Baru-baru ini, pelajar jurusan undang-undang di Management & Science University (MSU) Shah Alam ini telah muncul dalam program bual bicara ‘Borak Dulu Sampai Menang’ yang dikendalikan oleh saudara Amin Idris.
Berbual mengenai topik rutin PdPR dalam kalangan pelajar, agaknya bagaimanakah cara Wani menyesuaikan diri untuk meneruskan pengajian secara PdPR? Jika dahulu, prosesnya lebih mudah apabila dia boleh bertemu rakan-rakan untuk mengulang kaji. Dengan situasi semasa, bagaimana Wani terus bersemangat di kala ramai pelajar lain mengeluh?
“Wani tetap akan call kawan-kawan lain. Cuma majoriti waktu belajar Wani sekarang lebih banyak dihabiskan dengan cara menyiapkan tugasan secara individu. Wani juga pasti setiap pelajar ada cara masing-masing.
‘Semasa sedang cuba memahami subjek, Wani memilih untuk tidak akan duduk di satu tempat yang sama di dalam rumah. Wani jenis (pelajaran) tidak ‘boleh masuk’ jika terperap di satu tempat dan menghadap dinding yang sama sahaja.
“Apa yang Wani lakukan adalah, Wani akan membaca nota sambil tonton TV. Sambil menyapu sampah di luar rumah pun, Wani boleh dengar syarahan daripada YouTube. Dua benda perlu berjalan serentak. Kalau hendak duduk di satu tempat saja, memang Wani boleh rasa lesu dan tepu sepanjang masa,” jelasnya penyanyi Aksara Cinta ini.
Ruang timeline media sosial pada setiap hari pasti akan dipenuhi keluhan para pelajar pelbagai peringkat usia mengenai kepayahan belajar dari rumah ini.
Ada yang merasakan guru atau pensyarah memberikan tugasan yang terlalu membebankan sehingga mereka tiada waktu ‘me time’ secukupnya. Ada juga yang merasakan sudah tidak sanggup lagi dengan cara PdPR yang berpanjangan sejak tahun lalu.
Jelas pemilik nama sebenar Syazwani Abdullah ini, suka atau tidak dia perlu ‘memaksa’ diri untuk terus mendisplinkan dan tidak terlalu memanjakan diri di rumah.
“Sebagai pelajar, kita tidak banyak pilihan lain kecuali mengadaptasi kepada keadaan sekarang (belajar di atas talian).
“Jika terasa penat belajar secara PdPR dan mula rasakan kelas itu membosankan, rehatlah sebentar dan lakukan sesuatu untuk mengelakkan rasa tertekan. Wani sendiri pun akan menonton movie walaupun sekejap, kemudian kembali call kawan-kawan untuk berbincang assignment yang diberikan oleh pensyarah.
“Usah terlalu meletakkan mindset bahawa PdPR ini menyusahkan hingga rasa ingin berhenti belajar. Terus ikuti kelas yang ada tapi ketahui masa-masa sesuai untuk berehat sebentar,” pesannya.
Benar, suasana pembelajaran tidak sama seperti dahulu. Begitupun, we have to make do of the current situation.
“Kepada adik-adik d sekolah ataupun pelajar universiti yang sebaya dengan Wani, Wani tahu PdPR ini mencabar. Tapi ayuh kita ambil peluang ini untuk perbaiki diri, tingkatkan soft skill dan interpersonal skill kita dengan cara mendisplinkan diri. Jadi apabila sekolah dan kampus sudah dibuka nanti, kita sudahpun bersedia berhadapan dengan cabaran yang lebih sukar.”
Begitulah kata-kata semangat yang sempat diberikan Wani Kayrie menerusi program yang keudara di saluran RTM itu.