Banjir besar yang melanda Malaysia tidak hanya memberi kesan kepada kediaman dan harta benda peribadi. Malah ia turut memusnahkan jutaan buku yang ditenggelami air.
Kira-kira dua hingga tiga juta buah bahan bacaan dilaporkan rosak di gudang Big Bad Wolf dan kedai buku BookXcess @Wolf House yang terletak di Seksyen 33, Taman Alam Indah dekat Shah Alam akibat banjir teruk yang melanda Selangor tempoh hari.
Menurut pengasas bersama BookXcess dan Big Bad Wolf Books iaitu Andrew Yap, jumlah kerugian masih dalam proses penilaian kerana ia akan mengambil sedikit masa untuk dipastikan.
Namun berdasarkan penilaian awal, jutaan buku sudah disahkan rosak, musnah dan tidak dapat diselamatkan. Begitu juga dengan peralatan gudang yang memakan kos yang tinggi. Buat masa ini, kerja-kerja pembersihan gudang dan pembuangan bahan bacaan yang rosak ini sedang dilaksanakan.
Selain kedai buku BookXcess di Wolf House ini, setakat ini kesemua 14 cawangan BookXcess di seluruh negara serta BookXcess Online & Big Bad Wolf Books di platform Shopee masih beroperasi seperti biasa dan menerima tempahan.
Walaupun kehilangan jutaan bahan bacaan, pihak gudang Big Bad Wolf dan BookXcess difahamkan masih terbuka hati untuk menderma buku kepada masyarakat sekitar yang terjejas teruk akibat bencana banjir besar pada bulan ini.
Sayu hati kan melihat jutaan buku rosak ditenggelami air dan terpaksa dilupuskan. Bencana banjir besar ini benar-benar menguji seluruh rakyat Malaysia. Semoga apa yang berlaku memberi hikmah agar kita lebih bersyukur dengan segala kelebihan yang diperolehi selama ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Bukan Hanya Malaysia, Seluruh Dunia Sedang ‘Menangis’ – Kali Ini Giliran Brazil Banjir Besar – REMAJA
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: (1)