Sayunya Hati! Beginilah Suasana Solat Tarawih Malam Pertama Di Masjid Negara

Share

Jika tahun-tahun sebelum ini, sebaik pengumuman puasa dilakukan dan dimaklum esok bermulanya puasa, sebahagian besar dari kita akan bersiap sedia menuju ke masjid untuk bersolat tarawih.

Berbanding bulan Islam lain, hanya di bulan Ramadan ini sahaja umat Islam berpeluang menunaikan solat sunat tarawih yang sangat dituntut dilakukan (sunat muakkad). Masjid yang sebelum ini mungkin kurang makmur dengan kehadiran ribuan orang untuk bersolat akan penuh malah adakalanya melimpah sehingga ke luar kerana orang ramai berpusu-pusu menuju ke masjid.

Suasana begini biasanya dapat dilihat pada awal-awal Ramadan dan mula berkurangan pada 10 malam terakhir kerana orang ramai sudah sibuk membuat persiapan hari raya.

Namun sejak semalam, suasana jauh berbeza. Terasa sayu di hati kerana ruang masjid yang besar kosong. Ini kerana  orang ramai bersolat tarawih di rumah berikutan perlaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan  memasuki fasa ke 4 yang akan bersambung sehingga 12 Mei akan datang.

Gambar-gambar dari MalaysiaGazette yang memaparkan hanya empat orang makmum mengikut imam solat tarawih malam tadi di Masjid Negara benar-benar membuatkan hati terasa sayu.

Moga Allah mengangkat wabak ini dengan segera agar kita berpeluang menunaikan tarawih di masjid tahun ini. Amin Ya Rabbalalamin.

 

Imam Jemputan Masjid Negara, Ustaz Ahmad Mujahid Salleh Sani mengimamkan solat tarawih berjemaah bersama warga kerja masjid berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3 susulan penularan wabak Covid-19 di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 23 APRIL 2020

Dari gambar yang dimuatkan naik di page, hanya kelihatan Imam Jemputan Masjid Negara, Ustaz Ahmad Mujahid Salleh Sani mengimamkan solat tarawih berjemaah bersama warga kerja masjid berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3 susulan penularan wabak Covid-19 di Masjid Negara malam semalam.

Ya Allah, engkau angkat wabak ini sesegera mungkin semoga masjid kembali makmur.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ ، إيمَانًا وَاحْتِسَابًا ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan redha daripada Allah SWT, akan diampuni dosanya yang telah lalu”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 36].

Semoga Ramadan ini semua amal ibadah kita diterima Allah SWT.

 

 

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros