Kontroversi melanda syarikat pakaian sukan dan lifestyle terkenal, Nike apabila Naib Presiden syarikat tersebut dilaporkan telah meletakkan jawatan.
Untuk pengetahuan, Ann Hebert telah bersama-sama dengan Nike selama lebih 25 tahun. Selain menyandang jawatan Naib Presiden, beliau juga merupakan pengurus besar Nike bagi kawasan Amerika Utara.
Jadi mengapa pula individu sepenting Ann ingin meletak jawatan secara tiba-tiba?
Semuanya gara-gara anak lelakinya yang berusia 19 tahun, Joe Hebert yang mengendalikan sebuah perniagaan jenis reselling bernama West Coast Streetwear.
Aktivitinya sebagai reseller bagi mengaut keuntungan itu telahpun dibongkarkan oleh laporan Bloomberg Businessweek.
Ramai sneakerheads dan fesyenista yang menunjukkan rasa tidak puas hati dengan berita ini memandangkan Joe dengan mudahnya mendapat keuntungan berganda-ganda hasil perniagaannya itu. Tiada salahnya dengan industri reselling ini sebenarnya.
Malah ramai saja sneakerheads yang melakukannya secara atas talian.
Yang menjadi masalahnya adalah bagaimana mudahnya Joe membeli stok sneakers jenama Nike yang banyak menggunakan kad kredit American Express ibunya.
Joe sendiri mengaku dia telah membelanjakan kira-kira RM400,000. Malah, syarikat Joe itu juga dikatakan selalu berjaya mendapatkan sneakers pada harga diskaun daripada stor seperti Foot Locker untuk menjualnya semula.
Aktiviti Joe ini dilihat sebagai satu taktik kotor dan tidak adil dalam industri reselling ini.
Penulis sendiri tidak berpuas hati melihat anak orang dalam Nike dapat membeli sneakers terutamanya daripada koleksi edisi terhad dengan mudah sedangkan ramai lagi peminat sneakers sejati di luar sana kempunan untuk membelinya.
Buka-buka laman web je, terus sold out! Ggrr..
Biapun Joe menidakkan sebarang pembabitan ibunya, Ann dalam kegiatan ini, Nike pantas mengeluarkan kenyataan dan berkata syarikat tersebut tidak sesekali membenarkan pekerja untuk bersubahat dalam apa-apa jenis aktiviti reselling.
“Tindakan membeli kasut pada harga pasaran dan menjual pada harga yang lebih tinggi adalah sesuatu yang tidak adil kepada pengumpul lain.”
Nike juga berkata bahawa kekesongan posisi yang ditinggalkan oleh Ann itu akan diisi tidak lama lagi.
ARTIKEL BERKAITAN : Pening Nak Pilih! 5 Jenama Sneakers Muncul Dengan Kolaborasi Terbaru Bulan Ini – REMAJA