SEBAK, Berkali-Kali Shuib Toleh Semasa Tinggalkan Tapak Perkuburan Siti Sarah

Share

 

Sekitar jam 1.45 petang tadi, selesailah sudah pengebumian jenazah Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak Kuala Lumpur.

Arwah meninggalkan suaminya, Shuib dan empat orang cahaya mata, Uwais Alqarni; 10, Dzahira Talita Zahra; 8, Ariq Matin; 6 dan bayi yang baru lahir, Ayash Affan setelah disahkan dijangkiti wabak COVID-19.

Semasa van yang membawa jenazah tiba pada jam 12.35 tengah hari tadi dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia; sekumpulan penggiat media sudahpun menunggu di pintu masuk tanah perkuburan sebaik saja. Turut kelihatan berada di dalam kawasan perkuburan ialah suaminya Shuib dan ahli keluarga terdekat.

Di luar pagar tanah perkuburan pula adalah rakan media dan beberapa rakan artis yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir.

Menurut Shuib, di antara permintaan arwah adalah untuk dikebumikan berdekatan kubur arwah ibunya, Allahyarhamah Noor Aini Mohamad yang meninggal dunia pada tahun 2013. Permintaan tersebut dapat juga ditunaikan dan Shuib bersyukur apabila Allah SWT mempermudahkan urusannya.

Menerusi siaran lintas langsung yang dilakukan oleh beberapa platform media dari sana, hanya 10 orang saja termasuk Shuib yang dibenarkan untuk berada di sisi arwah sewaktu majlis pengebumian dilangsungkan.

Mereka semua perlu memakai persalinan PPE lengkap. Setelah majlis selesai, masing-masing melalui proses semburan sanitasi oleh petugas di situ sebelum dibenarkan melangkah pergi. Malah, tapak pengebumian juga disanitasi sebagai langkah berhati-hati demi mengelak wabak merebak.

Cukup sebak suasana yang dirakamkan tadi apabila Shuib yang berada di tengah-tengah dilihat berulang kali menoleh ke belakang semasa beredar pergi dari tapak perkuburan isteri tercinta untuk menukar pakaiannya. Dia kemudiannya kembali ke situ untuk bersama-sama ahli keluarga terdekat.

Allahhyarhamah Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) pada jam 5.13 pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN : Selalu Ringan Tangan Hulur Bantuan, Kebaikan Siti Sarah Dikongsi Nadir Al-Nuri & Ebit Lew – REMAJA

BACA LAGI : Naim Daniel Bakal ‘Peram Saja’ Lagu Ciptaannya Untuk Siti Sarah? – REMAJA

Published by
FZ