16 tahun mungkin kedengaran seperti satu tempoh masa yang cukup lama untuk kebanyakan daripada kita.
Namun buat Jazimin Abdul Jalil, tempoh 16 tahun yang lalu seakan baru sahaja berlaku semalam dek perasaan rindu yang masih dirasai olehnya terhadap anak tersayang, Nurin Jazlin.
Kisah tragis melibatkan pemergian Nurin berbekas di hati rakyat Malaysia apabila arwah yang pada waktu itu hanya berusia 8 tahun telahpun ditemui meninggal dunia selepas diperlakukan tanpa perikemanusiaan.
Pada 20 Ogos 2007, Nurin dilaporkan hilang setelah dia dipercayai telah diculik ketika meninggalkan rumahnya yang terletak di Wangsa Maju menuju ke arah sebuah kawasan pasar malam.
Apabila Nurin tidak memunculkan diri, adik-beradik serta ibu bapanya terus melaporkan kehilangannya itu ke pihak berkuasa. Hanya pada 17 September 2007, mayat Nurin ditemukan dalam sebuah beg pakaian sukan di Petaling Jaya. Laporan bedah siasat mendapati kanak-kanak berusia 8 tahun itu telah dirogol lalu dibunuh.
Lebih menyayat hati apabila perogol dan pembunuh Nurin sehingga ke hari ini masih belum dapat dikenal pasti dan ditangkap.
ARTIKEL BERKAITAN: “Rogol Perkataan Sensitif Bagi Perempuan DAN Lelaki..” – Miss Universe Malaysia – REMAJA
Memasuki ulang tahun pemergian Nurin pada 17 September ini, memori Jazimin terhadap anak perempuannya itu masih jelas di minda beliau dan perasaan rindunya itu disampaikan menerusi akaun media Facebook miliknya, Isnin lalu.
“Happy birthday Kak Ngah ke-24 tahun. Rindu Kak Ngah 11 September 1999 hingga 17 September 2007.”
Catitan ringkas berserta sekeping foto Nurin yang digunakan secara meluas sewaktu kesnya mengisi ruang akhbar 16 tahun lalu itu sedikit sebanyak membuatkan warganet sebak lalu menzahirnya ucapan takziah masing-masing sambil memperingati kesan tragedi tersebut kepada ahli keluarga mangsa.
Tinjauan REMAJA di bahagian komen mendapati warganet turut saling mengingatkan betapa tragedi seperti ini harus disemat di hati rakyat. Biarpun ia menyedihkan, banyak pengajaran berguna yang boleh diambil agar ia tidak berulang semula pada masa akan datang.
Sebagai info, tragedi arwah Nurin Jazlin ini juga merupakan punca selebriti versatil, Allahyarhamah Adibah Noor melancarkan lagu berjudul Terlalu Istimewa untuk didedikasikan kepada arwah. Lagu tersebut kemudiannya diangkat sebagai pemenang utama Anugerah Juara Lagu ke-21.
BACA LAGI: Perginya Pengibur Versatil, Adibah Noor Buat Selama-Lamanya – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
p