Sebuah majlis penghormatan untuk mangsa insiden tembakan rambang di Christchurch, New Zealand telah diadakan semalam orang orang ramai semalam.
Dalam majlis yang dihadiri oleh masyarakat berbilang kaum dan agama itu, mereka semua berdiri untuk mendengar beberapa ucapan dan alunan bacaan ayat suci Al-Quran bagi memperingati mangsa dan sebagai tanda solidariti.
Suasana sayu jelas dapat dirasa ketika menonton sebuah video yang dikongsikan oleh pengguna Facebook, Mohd Shahrizan. Di dalam video tersebut, Shahmi Aiman yang merupakan seorang pelajar Universiti of Christchurch, New Zealand memperdengarkan bacaan surah Al-Baqarah ayat 155-156.
Pelajar yang berasal dari Pasir Mas Salor, Kelantan itu nyata meruntun jiwa netizen yang menonton di media sosial apabila mereka akui bertambah sebak sebaik habis menonton.
REMAJA kongsikan terjemahan ayat tersebut di sini.
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (Al-Baqarah 2:155)
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Al-Baqarah 2:156)
Upacara pengebumiaan para mangsa dijadualkan berlangsung bermula hari ini.
Al-Fatihah