15 Disember 2022 esok menandakan tempoh tiga minggu tepat setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri kesepuluh Malaysia.
Sejak Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jaawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri di Istana Negara itu, banyak perubahan yang telah diumumkan oleh Anwar Ibrahim dalam cara pemerintahan beliau.
Ini termasuklah penolakan kenderaan mewah jenis Mercedes S600, penolakan kediaman rasmi Kompleks Seri Perdana dan penolakan gaji sebagai Perdana Menteri serta Menteri Kewangan. Kesemua itu demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan pimpinannya.
Namun tahukah korang, sebelum Anwar Ibrahim membuat keputusan drastik untuk tidak menerima gaji bagi jawatan nombor satu negara itu, Yang di-Pertuan Agong (YDP Agong) telahpun mengambil tindakan sama tetapi lebih awal.
Menurut Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini, YDP Agong berkenan untuk tidak mengambil gaji sejak era pandemik melanda Malaysia pada tahun 2020.
“Baginda tidak menerima gaji oleh kerajaan sejak Covid-19. Saya ingat eloklah kita beri penjelasan ini.
“Itu sumbangan dibuat YDP Agong memandangkan masalah ekonomi yang menekan rakyat,” katanya.
Untuk pengetahuan, Jemaah Kabinet negara termasuklah barisan Timbalan Menteri yang selesai dilantik Jumaat minggu lalu telah bersetuju menerima potongan gaji sebanyak 20 peratus sebulan. Ia adalah tanda solidariti mereka terhadap keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.
Manakala, Anwar tetap dengan pendiriannya untuk menolak terus pemberian gaji sebagai Perdana Menteri serta Menteri Kewangan.
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.