[Sebelum & Selepas] Ibarat Sungai Besar! Pekan Di Jerman Ini Ditenggelami Air

Share

 

Keadaan cuaca yang berubah secara drastik di Jerman sepanjang minggu ini hingga mengakibatkan ratusan nyawa hilang serta ribuan rumah musnah telah mengejutkan penduduk dunia.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, belum pernah ada laporan mendukacitakan seperti ini di Jerman. Lalu, ramai tertanya-tanya apakah punca sebenar di sebalik banjir besar yang melanda negara itu.

 

Lebih seratus rakyat dilaporkan maut manakala puluhan mangsa lain masih belum ditemui setelah Jerman dilanda musim hujan pada minggu ini.

Dilabel sebagai kejadian paling teruk pernah disaksikan negara itu dalam tempoh satu dekad, kawasan Barat Jerman berdepan hujan lebat tidak henti-henti dan ribut hingga mengakibatkan paras air di kawasan sungai naik mendadak.

Sebelum : Bad Münstereifel
Selepas : Bad Münstereifel

Di sepanjang sungai Ahr di Jerman (yang merupakan daerah yang terkenal dengan perindustrian penghasilan minuman wain) misalya, air sungai naik mendadak hingga memusnahkan bangunan, infrastruktur, tanaman serta harta benda penduduk di sana.

Salah satu kawasan yang menerima impak buruk ialah di Schuld. Kediaman di sana jelas teruk dibadai air banjir menerusi foto-foto yang dirakamkan oleh rakan media Jerman.

Di pekan Altenahr dekat Ahr Valley, imej aerial menunjukkan perbandingan sebelum dan selepas kawasan tersebut yang teruk terjejas hinggakan kawasan kejiranan serta pekan ditenggelami air. Sekali imbas, pekan tersebut seakan tidak wujud dan hanya ‘sungai besar’ dan pergunungan hijau saja yang ada.

Sebelum : Altenahr
Selepas : Altenahr

Sebelum air banjir melanda pada 15 Julai lalu, Altenahr merupakan sebuah pekan yang cukup indah di keliling alam semulajadi tidak terusik. Tapi kini, keadaan berubah 180 darjah.

Tidak jauh dari situ, pekan Dernau bersebelahan dengan sungai Ahr yang dahulunya terkenal sebagai pekan di kaki bukit ladang tanaman anggur juga terjejas.

Sebelum : Pekan Dernau
Selepas : Pekan Dernau

*

Untuk pengetahuan, kali terakhir Jerman pernah dilanda banjir ekstrem adalah pada Jun 2013. Pada waktu itu, ia turut melibatkan negara-negara jiran seperti Austria, Switzerland, Poland dan Hungary.

Banjir pada 2021 ini pula telah memasuki negara Belgium manakala negara Belanda sedang berada dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya banjir melanda negara mereka yang terletak bersebelahan dengan Limburg.

Sumber : (1) (2)

Published by
FZ