Umum mengetahui mengenai perancangan pasangan pelakon; Kamal Adli, 35 dan Uqasha Senrose, 29 untuk melangsungkan majlis akad nikah mereka. Namun siapa sangka, mereka sebenarnya telahpun melangsungkan majlis pernikahan pada 5 November lalu dan merahsiakannya selama lebih sebulan!
Dalam sebuah sidang media yang dilangsungkan sebentar tadi, pasangan itu akhirnya ‘membuka mulut’ mengapa mereka bertindak untuk merahsiakannya. Ia kerana acara penyatuan akad nikah, malam berinai dan persandingan Kamal dan Uqasha akan disiarkan secara eksklusif di saluran Astro Ria dalam tiga bahagian/episod berbeza pada 11, 18 dan 25 Disember ini.
Kamal dan Uqasha turut berkongsi bahawa mereka telah diijabkabulkan di sebuah lokasi di Janda Baik, Pahang di mana Kamal telah menyerahkan mas kahwin bernilai RM22.50 kepada Uqasha berserta tujuh dulang hantaran yang dibalas sembilan dulang oleh pihak pengantin perempuan.
Majlis malam berinai dan persandingan bagaimanapun masih belum dilangsungkan lagi buat masa ini.
Biarpun sudah lebih sebulan bergelar suami isteri, Uqasha menyatakan bahawa mereka masih tidak merasakan seperti sudah disatukan dek jadual penggambaran di lokasi luar Kuala Lumpur yang padat.
“Selepas saja akad nikah, pada hari berikutnya kami terus masuk ke dalam set penggambaran drama dan tidak berjumpa. Uqasha di set drama Jiwa Yang Kau Puja manakala Kamal di set drama Sihir. Jumpa pun sekejap-sekejap saja. Itupun kami sibuk dengan perancangan untuk majlis resepsi.
“Kamal sibuk dengan penggambaran sehingga 30 November lalu hinggakan Sha buat sendiri dahulu (perancangan resepsi). Kami pun sibuk siapkan footage bersama pihak Astro selain sibuk dengan sesi latihan untuk malam berinai nanti kerana kami akan perform.
“(Selain itu), kami perlu selesaikan bahagian pasport untuk ke Umrah nanti. Kamal pun sibuk urusan pengubahsuaian rumah, dari rumah bujang menjadi rumah kami berdua. Jadi sebenarnya, kami belum sempat pun untuk benar-benar jalani kehidupan sebagai suami isteri,” kongsinya Uqasha.
Pilih Kota Suci Sebagai Destinasi Pra-Bulan Madu
Bercakap mengenai perancangan mereka untuk ke kota suci Mekah dan Madinah bagi menjalani ibadah Umrah sebagai urusan pra-bulan madu, Uqasha berkata dia ingin sekali menjadi insan pertama yang mengiringi Kamal yang masih belum pernah menjejakkan kaki ke tanah suci.
“Kali pertama Uqasha ke tanah suci adalah semasa penggambaran Setelah Terlafaznya Akad. Masa itu tak kenal pun lagi Kamal secara peribadi. Di sana, Uqasha doakan agar drama tersebut menjadi satu fenomena.
“Semasa penggambaran di sini (Malaysia), kami berkampung di Melaka selama lima bulan dan saling berkenalan. Dalam banyak-banyak doa yang Uqasha (pohon), Allah makbulkan drama tersebut meletup.
“Kali kedua ke sana (tanah suci), Uqasha baru mengenali hati budi Kamal.
“Di sana, Uqasha berdoa sekiranya Ahmad Kamal bin Ahmad Adli ialah jodohku, Kau panjangkah jodoh kami. Jika tidak, Kau pisahkanlah dengan baik.”
“Alhamdulillah, jodoh kami hingga ke (jinjang pelamin). Sebab itulah, Uqasha ambil keputusan untuk tunaikan Umrah terlebih dahulu kerana di sanalah Allah telah makbulkan doa Uqasha,” katanya.
Sambil itu, Kamal meluahkan rasa teruja untuk ke tanah suci buat kali pertama bersama Uqasha sebagai isterinya. “Saya nak pergi dengan senarai doa yang banyak.” Mereka bagaimanapun belum memutuskan lokasi bulan madu lagi.
*
Terdahulu, Kamal telah melamar Uqasha secara langsung di pentas Anugerah MeleTOP Era sewaktu mereka menjadi pasangan penyampai trofi.
ARTIKEL BERKAITAN : “Yes..” Akhirnya Kamal Adli Temui Cinta, Uqasha Terima Lamaran LIVE – REMAJA
Tahniah Kamal Adli & Uqasha Senrose daripada kami di Majalah REMAJA!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.