Second Is The New First, Kontroversi Apabila Wanita Tulen Dikalahkan Transgender Dalam Arena Sukan

Share

Ketika ini sedang bergema isu penglibatan wanita transgender dalam sukan untuk wanita tulen. Semuanya bermula apabila Lia Thomas,22 yang membesar sebagai seorang lelaki dan kemudiannya memulakan transisi menerusi terapi hormon sebagai wanita transgender telah memenangi tempat pertama dalam pertandingan renang wanita National Collegiate Athletic Association(NCCA) 2022 di Amerika Syarikat.

Kemenangannya pelajar University of Pennsylvania itu mengalahkan pemenang tempat kedua sukan Olimpik Tokyo 2020, Emma Weyant menjadi kontroversi, kerana dia sebelum ini sudah tiga tahun bertanding dalam kategori lelaki namun tidak mencapai kejayaan signifikan sehinggalah memilih untuk menjadi wanita transgender dan bertanding dalam kategori wanita.

Dek kerana isu ini, tanda pagar #savewomensports sedang menjadi hangat apabila majoriti masyarakat tidak bersetuju dengan penyertaan mereka yang dilahirkan sebagai lelaki secara biologi untuk bertanding dalam sukan wanita.

Memetik kenyataan yang dimuat naik oleh Angela Morabito, bekas setiausaha media bahagian pendidikan Amerika Syarikat, dia menulis, “Tepukan gemuruh untuk Emma Weyant, perenang University of Virginia kerana memenangi tempat kedua dalam acara 500-meter gaya bebas di belakang Lia Thomas. Tempat kedua adalah tempat pertama yang baharu. #savewomensports.”

Antara luahan yang mendapat ciapan ramai lagi adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh organisasi American Principles. Ciapan tersebut berbunyi, “Lia Thomas menjadi seorang lelaki selama 21 tahun dalam hidupnya. Tahun ini dia mula bertanding dalam sukan wanita dan menjadi juara kebangsaan. Sukan anak perempuan kami bukan rancangan B untuk atlet lelaki yang gagal.”

Memetik pandangan daripada selebriti terkenal Pierce Morgan menerusi temubualnya bersama Fox News. “Anda boleh menyokong hak transgender, seperti yang saya lakukan. Dan anda boleh percaya bahawa individu trangender boleh mempunyai kesaksamaan dan kesaksamaan sepenuhnya, sehingga ke tahap di mana situasi itu mewujudkan ketidaksamaan baharu,” katanya.

Kenyataan ini merujuk kepada perdebatan berterusan tentang isu ‘keadilan berbanding kebersamaan’ yang telah muncul dengan penguasaan Lia Thomas dan dasar baharu NCAA mengenai kelayakan atletik pelbagai jenis transgender dan jantina untuk menyertai sukan.

Salah seorang pengguna Twitter yang dikenali dengan nama Eliana Silver memberikan pendapat yang, tidak bersetuju atlet transgender menyertai sukan wanita bukan satu kebencian terhadap golongan transgender yang digelar transphobia.

Ujarnya, “Tidak bersetuju apabila Lia Thomas berenang untuk pasukan wanita bukanlah transphobia. Hujah transphobia digunakan untuk menutup fakta bahawa anda semua tahu yang perkara ini adalah tidak adil kepada ratusan atlet yang bersaing dengannya. Dengan menyalurkan budaya ‘woke’, NCAA sebenarnya menyakiti ramai atlet wanita.”

Jika dilihat pada kes Lia Thomas ini dia jelas memiliki kelebihan dengan genetik lelaki dan bentuk tubuh yang lebih besar dan tinggi berbanding wanita biasa. Tambahan pula isu menjadi lebih hangat apabila dia sebelum ini berada dalam pasukan lelaki dan prestasinya tidak begitu cemerlang, sebaliknya apabila menyertai kategori wanita dia berjaya menjadi juara mengalahkan pemenang pingat perak sukan Olimpik.

Isu ini telah menjadi perdebatan hangat bukan sahaja dalam kalangan warganet, namun ia turut didebatkan oleh orang berpengaruh. Menyelesaikan isu ini umpama menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak. Keadilan bukan hanya untuk sesetengah pihak sahaja, namun untuk semua.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Published by
Fiezreen