Ramai antara kita mungkin pernah solat di hujung waktu. Misalannya menggabungkan waktu Zuhur ke Asar. Ada ketika, sedang solat fardu misalannya di rakaat kedua, kedengaran azan tanda masuk waktu.
Perlukah kita berhenti solat atau teruskan solat tersebut? Ustaz Azhar Idrus berkongsi ilmu mengenai ini.
Soalan:
Jika kita kerjakan sembahyang pada hujung waktu dan belum sempat beri salam telah kedengaran azan masuk waktu sembahyang yang lain. Adakah kita kena berhenti dari sembahyang atau macam mana hendak kita lakukan?
Jawapan :
Jika seorang itu mengerjakan sembahyang pada hujung waktu kemudian sebelum dia selesai lagi dari sembahyang tersebut telah masuk waktu yang lain maka hendaklah dia teruskan sembahyang tersebut tidak perlu dia berhenti.
Maka jika dia sempat melakukan serakaat di dalam waktu yang pertama maka dia telah mendapat solat tersebut dengan tunai.
Dan jika dia tidak sempat sembahyang sebanyak serakaat dalam waktu yang pertama misalnya dia sedang rukuk lalu masuk waktu solat yang kedua maka solat yang pertama itu dikira sebagai solat qadha.
Tersebut pada Kitab Fathul Muin :
ولو أدرك في الوقت ركعة لا دونها فالكل أداء وإلا فقضاء.ويأثم بإخراج بعضها عن الوقت وإن أدرك ركعة
Artinya : “Dan kalau seorang itu mendapat serakaat di dalam waktu tidak yang selainnya maka sekelian rakaat itu adalah dikira tunai dan jika tidak nescaya jadilah solatnya itu qadha.
Dan berdosa ia sengaja keluarkan sebahagian sembahyang daripada waktu sekali pun dia sempat mendapatkan serakaat.”
Maksudnya siapa yang sembahyang dalam waktu misalnya dia sembahyang Asar dalam waktu Asar dan selepas dia lakukan rakaat yang pertama lalu masuk waktu maghrib maka sembahyangnya itu dikira sebagai sembahyang tunai dan jika dia belum masuk ke rakaat yang kedua lalu masuk waktu maghrib maka jadilah sembahyangnya itu sembahyang qadha.
Dan jika dia sengaja sembahyang Asar pada waktu seperti itu maka hukumnya dia berdosa melainkan kerana uzur seperti pengsan atau tertidur atau terlupa.
wallahua’lam
ustaz azhar idrus