Siapa yang tidak kenal dengan nama Hamka atau lebih mesra dipanggil Buya Hamka. Hamka atau nama sebenarnya, Haji Abdul Malik Karim Amrullah merupakan seorang ulama besar, wartawan dan sasterawan Indonesia yang tersohor di rantau Nusantara.
Karya-karya hebat seperti Tenggelamnya Kapal van der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan Tafsir al-Azhar masih lagi dibaca, dikaji dan dihayati sehingga ke hari ini. Bahkan sesetengah naskhah yang dihasilkan telah diangkat ke layar lebar.
Namun di sebalik teguhnya nama Hamka sebagai seorang figura yang menegakkan syiar Islam, terselit kisah yang mana adik lelakinya sendiri telah keluar agama Islam dan memilih agama Kristian sekaligus menjadi paderi.
Adik lelakinya, Abdul Wadud Karim Amrullah merupakan adik sebapa namun berlainan ibu. Mereka memiliki jarak umur yang agak jauh iaitu 19 tahun. Hamka dilahirkan pada 1908 manakala Abdul Wadud pula dilahirkan pada tahun 1927.
Ayah mereka, Abdul Karim Amrullah adalah seorang ulama besar dan menjadi seorang rakyat Indonesia yang mendapatkan gelaran doktor kehormatan dari Universiti Al-Azhar Mesir.
HIJRAH KE AS
Abdul Wadud atau lebih dikenali dengan panggilan Awka dibesarkan sebagai seorang Muslim yang taat pada ajaran agama Islam. Pada 2 Jun 1945, ayahnya Abdul Karim Amrullah meninggal dunia dipangkuan Awka. Selepas kematian ayahnya, Awka memilih untuk berhijrah ke Rotterdam, Belanda sebelum merantau ke Amerika Selatan, Afrika dan Amerika Syarikat.
Akhirnya Awka memilih untuk menetap di San Francisco, California, Amerika Syarikat. Di sana dia memilih untuk menggunakan nama inggeris, Willy Amrull. Dalam naskah Hamka iaitu Empat Bulan di Amerika Serikat dia menyatakan, “Dia adalah adikku Abdul Wadud Karim Amrullah. Di Amerika, dipakainya nama ala Barat, Willy Amrul.”
Dengan bantuan Hamka, Awka mendapatkan pekerjaan di lembaga Indonesia Supply Mission yang berada di New York dan kemudian di pejabat Konsulat Republik Indonesia yang berlokasi di San Francisco.
Dalam sejarah percintaan, Awka agak tidak bernasib baik dalam cinta pertamanya kepada seorang gadis Indonesia yang merupakan anak kepada Duta Besar Republik Indonesia. Rasa sayangnya itu tidak direstui oleh sang bapa. Kemudian dia berkahwin dengan janda anak empat warga AS namun jodoh tidak panjang.
Pada tahun 1970 ketika berusia 43 tahun, Awka akhirnya berkahwin dengan seorang gadis kacukan Belanda-Indonesia, Vera Ellen George. Wanita itu memeluk Islam dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Salah seorang anak Awka merupakan seorang jurusolek dan drag queen terkenal, Sutan Ibrahim Karim Amrullah atau lebih dikenali dengan nama Raja Gemini. Dia merupakan jurusolek profesional kepada ramai selebriti Hollywood dan pernah memenangi Ru Paul’s Drag Race musim ke-3.
PELUK KRISTIAN
Selepas berkahwin sekitar pertengahan 1977, Awka kembali ke Indonesia dan menetap di Bali. Ketika itulah sang isteri menjadi goyah pegangan terhadap agama Islam dan mengajak Awka untuk mengikutnya kembali ke agama Kristian.
Puncaknya adalah pada tahun 1981, apabila keluarga Awka berpindah ke Jakarta. Iman Awka mula goyah, dan pada tahun 1983 dia dibaptis secara rasmi oleh Pastor Gerard Pinkston di Kebayoran Baru.
Pada tahun yang sama Awka kembali ke AS dan dilantik sebagai Pastor di Gereja Injili Indonesia di California. Sejak itu, Awka dikenali sebagai Paderi Willy Amrull. Tiada siapa yang menyangka dengan latar belakang keluarga Islam yang kuat. Hamka memilih untuk menjadi Ulama seperti bapanya, manakala Awka memilih untuk menjadi Paderi. Padahal sejak kecil Hamka dan Awka sudah taat dan patuh kepada agama.
Hamka meninggal dunia pada 24 Julai 1981, jadi Allahyarham tidak sempat melalui fasa di mana adiknya sendiri menjadi seorang Paderi. Mungkin perkara yang terjadi dalam keluarga ini senang diperkatakan namun sukar untuk di fahami.
Menurut temu bual Raja Gemini mengenai kisah ayahnya dan berasal dari keluarga yang teguh agama Islam lalu menjadi seorang Paderi, dia berkongsi memori saat-saat kecilnya, Ujarnya, “Saya masih ingat lagi ketika berusia tiga tahun di Jakarta dan melawat masjid bersamanya.”
Kesemua anak-anak Awka turut memeluk agama Kristian. Dari kisah tentang Hamka & Awk aini, jelas bahawa iman tidak dapat diwarisi. Bak bait lagu nyanyian Raihan.
Iman tak dapat diwarisi,
Dari seorang ayah yang bertaqwa,
Ia tak dapat dijual-beli,
Ia tiada di tepian pantai.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.