Baru ini tular di media sosial di mana Ustaz Ebit Lew meminta maaf andai perbuatannya bergerak ke sana ke mari semasa Perintah Kawalan Pergerakan membuatkan hati orang lain terguris. Masa yang sama beliau berkata niatnya membantu barisan hadapan negara menangani COVID-19 dengan menyampaikan sedekah adalah kerana Allah taala. Ia ekoran ada individu yang bersuara bahawa perbuatan sedekah dilakukannya tidak harus ditunjukkan di media sosial.
Pasti isu berkenaan turut menjadi tanda tanda di hati kita bolehkah sedekah dibuat terang terangan, di kongsi di media sosial atau seharusnya dibuat tanpa orang lain ketahui? Ini kerana mungkin ada di antara kita difahamkan tangan kanan memberi, tangan kiri tak harus ketahui.
REMAJA terjumpa perkongsian menarik dikongsikan oleh Ustaz Abu Iqbal atau mesra disapa Ustaz Mizul di fbnya mengenai hal ini dan mengupasnya untuk pembacaan kita semua. Rupanya dalam surah Al-Baqarah dan Fatir ada dinyatakan bahawa sedekah dibolehkan dihebahkan. Bacalah, agar kita lebih faham.
Mike, kalu orang tanya…boleh ke idak kita tunjuk kat orang sedekah kita?
Selalunya orang akan kata…Hish…buat apa ditunjuk ke orang. Habih pahala.
Kalu nak buat baik, nak bagi sedekah, kena sembunyi-sembunyi…aci boleh, tangan kanan memberi, tangan kiri pun idak tau…
Hemm…selalunya ghoper itulah. Orang marah bebeno, sinis bebeno kalu nengak ada orang bagi sedekah dengan terbuka.
Apa lagi kalu masuk TV, masuk FB dan sebagainya.
Rugi le dia. Bagi sedekah, lepeh itu nayang kat orang. Riyak…habis lunyei pahala…
Sebenonya, baik sembunyi ke, atau terang-terangan ke…kedua-duanya dibolehkan.
Mari teman bagi beberapa dalil:
1# “Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebagian kesalahan-kesalahanmu; dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (al-Baqarah: 271)
2# ”Orang-orang yang menginfakkan hartanya malam dan siang hari (secara) sembunyi-sembunyi mahu pun terang-terangan, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati.” (al-Baqarah, 2: 274)
3# “Sesungguhnya orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan solat dan mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.” (Fatir: 29)
Cukup tak tiga dalil di atas. Nak bagi ada lagi…
Sebab itu jangan mudah kata ke orang. Bila orang tu buat benda baik, dan dia tayang kat orang, ada sisi baiknya.
Nabi Muhammad SAW buat benda baik dan baginda tayang tak kat orang? Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a diketahui ahli sedekah no. 1 selepas nabi, ater ghoper mana orang boleh tahu kalu dia sedekah sembunyi-sembunyi? Begitu juge le taikun bisnes Muslim…siapa lagi kalu bukan Saiydina Abdul Rahman bin Auf?
Sebenonya, pamerkan ke, atau sembunyikan ke, yang penting sekali ialah niat. Jika niat sebeno-beno hanya kerana Allah SWT, maka ia lulus.
Tapi jika bagi le sembunyi-sembunyi, tapi dalam hati terdetik…isk…aku le orang paling pemurah…baiknya aku…haa… Cerah Masa Depan…itu semua sifat mazmumah…rasa ujub dan sebagainya…
Sebenonya, mempamerkan benda baik adalah sebahagian daripada ajaran Islam…
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa memulai suatu sunnah yang baik dalam Islam, maka ia mendapatkan pahalanya dan pahala orang-orang yang mengikutinya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Wallahua’lam.
Ustaz Mizul al-Lenggongi
#CMD