Setiap manusia yang berhajat pastinya akan memohon doa kepada Maha Pencipta. Tak kira sama ada apa yang didoakannya itu untuk kebaikan di dunia mahu pun akhirat, pasti di antara kita mahu doanya di perkenan.
Allah memang sebaik-baik pencipta yang Maha Penyayang dan Pemurah kerana ada yang Allah perkenankan doa hambaNya lebih awal bukan kerana individu itu berulang kali memohon doa kepadaNya tetapi Dia lebih tahu masa yang terbaik untuk kita mendapatkan apa yang diminta.
Namun, ada juga doa yang dimohon bertahun-tahun masih belum dijawab oleh Allah. Tidak dinafikan pasti ada perasaan kecewa dan sedih tambah-tambah lagi apa yang paling dihajati tidak ditunaikan.
Sesungguhnya Allah lebih mengetahui masa terbaik untuk menunaikan permintaan kita dan di sini REMAJA kongsikan satu kisah tentang mengapa doa kita tidak dimakbulkan oleh Allah.
Ketika Ibrahim Bin Adham, seorang ahli sufi berada di tengah-tengah pasar Basrah dikerumuni oleh orang ramai.Antara mereka ada yang bertanya, “Mengapakah doa kami tidak dimakbulkan oleh Allah, sedangkan kami bermohon kepadaNya?”Ibrahim menjawab, “Kerana hati mereka buta disebabkan 10 perkara”
1. Doa daripada mereka yang mengaku mengenali Allah, tetapi ingkar akan segala perintahNya.
2. Mengasihi Rasulullah, tetapi tidak mengikuti sunahnya.
3. Sering membaca Al-Quran, tetapi tidak menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup.
4. Langsung tidak bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah SWT.
5. Memusuhi syaitan, tetapi langsung tidak menentangnya.
6. Mengakui kewujudan syurga di alam akhirat, tetapi tidak beramal untuk ke syurga.
7. Mengakui kewujudan neraka di alam akhirat, tetapi tidak cuba menjauhkan diri daripada masuk ke dalamnya.
8. Mengakui mati itu pasti, tetapi masih lalai melakukan kemaksiatan dan kejahatan.
9. Sibuk dengan keaiban orang lain, tetapi sering lupa dengan aib sendiri.
10. Mengebumikan mayat saudara Islam, tetapi tidak mengambil iktibar daripada kematian mereka.
Sumber: islamituindah.com.my