“Sedihnya Allah Yang Tahu, Anak-Anak Rindu” Suami Luah Rasa Risau Isteri Hilang Lebih 10 Hari

Share

Sejak 10 hari lalu, viral kisah kehilangan seorang suri rumah, Rushnita Amirdin, 44 tahun yang dilihat kali terakhir membersihkan halaman rumah dan kemudian membuang sampah di semak berhampiran rumahnya di Kampung Sungai Mahang, Nilai, Negeri Sembilan.

Kelibatnya hanya kelihatan sekitar jam 9 pagi dan sejak itu, ibu kepada enam anak ini kehilangan jejak sekaligus merisaukan ahli keluarga sedia ada.

Menurut suaminya, Saparin Mardi, 48 tahun, sehingga hari ke 10 isterinya hilang, bermula dari 16 Ogos lalu, rasa risau sentiasa terbit di hatinya termasuk anak-anak.

“Bermacam ustaz kami jumpa. Semua kata isteri ada di kawasan sini, masih selamat dan minta dibukakan pintu hatinya untuk balik semula ke rumah,”katanya memaklumkan anak bongsu mereka akan berusia setahun pada 30 Ogos ini. Menurutnya anak bongsunya itu tengah melasak dan mulai dapat kaki. Masa yang sama, Saparin berkata, tiada unsur mistik atau misteri berikutan kehilangan isterinya itu biarpun pada awalnya dia menjangkakan hal ini.

Jelas Saparin, buat masa ini anak-anaknya seramai 6 orang itu dijaga bergilir oleh anak-anak yang sudah remaja dan dewasa tetapi anak yang bongsu itu sudah diletakkan di bawah jagaan emaknya di Pasoh, Negeri Sembilan berikutan kesukarannya untuk bekerja.

Rushnita  dilaporkan hilang sejak 10 hari lalu selepas kali terakhir dilihat membuang sampah di semak berhampiran rumahnya

 

Keratan akhbar yang menyiarkan kisah kehilangan suri rumah ini

Menceritakan lebih lanjut, kata Saparin, dia ada di rumah ketika kejadian tetapi kemudian keluar ke kedai seketika.

“Balik dari kedai, saya dapati isteri sudah tiada. Puas kami mencarinya sekeliling rumah kerana sebelum ini isteri pernah pergi ke rumah adiknya tetapi kali ini rasa risau mula tumbuh bila adiknya memaklumkan tiada kakaknya di rumahnya. Saya buat laporan polis sekitar jam 2.57 petang yang mana satu kumpulan menyelamat digerakkan bagi mencari isteri.

“Operasi dilakukan menjangkau sehingga 500 meter dari lokasi dilaporkan hilang tetapi pihak polis tidak menemui petunjuk biar menggunakan anjing pengesan,” katanya memaklumkan belakang rumahnya hanyalah semak dan hutan kecil namun ia bukan sesuatu yang merbahaya kerana dia sudah membersihkannya untuk dibuat kebun,” katanya ketika dihubungi untuk perkembangan terkini situasi isterinya.

Dalam pada itu, Saparin berkata, dia kini hanya mampu berdoa dan terus bertawakal kepada Allah agar isterinya ditemui selamat dan kembali semula ke rumah.

“Pelbagai usaha sudah dilakukan. Malah pihak polis dan bomba dengan bantuan anjing pengesan juga sudah menghentikan usaha mencari isteri. Buat masa ini tiada sebarang panggilan telefon atau komunikasi memaklumkan jejaknya ditemui,”katanya yang meminta sesiapa yang ternampak, terjumpa atau menemui isterinya agar segera menghantarnya ke balai polis berdekatan.

Dalam pada itu, anak kedua Muhammad Rafizan, 19 tahun yang belajar di Kolej Komuniti di Melaka berkata, dia hanya menyedari kehilangan emaknya selepas pulang untuk menyambut hari raya aidiladha.

“Saya dimaklumkan jejak emak tiada. Rasa risau tentang keadaannya. Tertanya-tanya sama ada emak makan, sihat atau tidak, dan saya ingin tahu sangat bagaimana keadaan emak,”katanya memaklumkan, dia anak kedua. Abang sulungnya berusia 21 tahun, diikuti adiknya 17, 16, 12 dan setahun.

“Saya berdoa agar mak ditemui segera kerana kami semua risau tentang keadaannya,” katanya mengakui sudah hampir 10 hari emaknya menghilang dan tiada kabar berita sehingga kini.

Bagi yang pernah ternampak suri rumah ini, lapor kepada pihak polis atau bawa ke balai berdekatan. Sama-sama kita bantu agar suri rumah ini selamat kembali ke rumahnya. Mohon viralkan agar usaha ini berjaya!

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros