
Sekiranya anda pernah ada pengalaman masuk ke hospital, anda akan perasan ada doktor yang mukanya kelihatan dari awal pagi sehingga ke tengah malam.
Apabila ada kes kritikal di wad pada 3 pagi, doktor yang sama juga muncul dengan rupanya yang sudah kusut masai!
Itulah doktor oncall.
Doktor oncall bertanggungjawab untuk melihat dan merawat semua pesakit selepas 5 petang. Lebih mencabar, pada hujung minggu, doktor oncall ini perlu untuk menguruskan kes untuk 24 jam tanpa henti.
Sebagai imbuhan, doktor oncall boleh membuat tuntutan kerja lebih masa sebanyak RM200 untuk tugasan selama 15 jam. Ia bersamaan RM13.30 untuk setiap jam.
.
Bagi pelajar perubatan dan doktor doktor muda yang baru dilantik, cabaran yang lebih besar menanti mereka.
Mereka tidak lagi mendapat jaminan untuk dilantik sebagai Pegawai Perubatan tetap selepas tamat latihan Housemanship. Banyak manfaat sebagai penjawat awam tidak diterima dan laluan untuk melanjutkan pelajaran untuk menjadi pakar juga semakin sukar.
Terkini, kerajaan mengumumkan elaun kritikal bagi pegawai perubatan baru juga dimansuhkan.
.
Walaupun doktor senior TIDAK TERKESAN akan polisi baru ini, namun ramai doktor doktor senior bangkit menyuarakan hak bagi doktor muda.
Persatuan Perubatan Malaysia telah melancarkan petisyen dan telah mendapat lebih 72 ribu tandatangan dalam tempoh 24 jam!
Di media sosial, doktor doktor telah menambah “frame” #JusticeForJuniorDoctors, Overworked, Underpaid sebagai solidariti kepada doktor doktor muda.
.
Rata rata komen dan pendapat doktor perubatan di Malaysia TIDAK meminta dan mendesak agar gaji dan elaun dinaikkan ,tetapi mereka benar benar berharap agar manfaat, jaminan dan imbuhan yang sedia ada dikekalkan.
Sumber :Public Health Malaysia
Parcel Lambat Sampai! Berhenti Merungut Di Media Sosial, Pengguna Boleh Saman Syarikat Kurier

Kita sering terbaca rungutan dikongsikan di media sosial mengenai syarikat kurier lambat membuat hantaran barang walau penjual sudah memaklumkan ia sudah lama dihantar. Masa yang sama, ada juga barangan yang kita poskan sampai lambat kepada penerima hingga menyukarkan andai bungkusan itu penting.
Jangan tak tahu ya, rupanya kita boleh saman syarikat kurier jika tak berpuas hati dengan perkhidmatan mereka. Jadi kalau lepas ni korang ada masalah dengan syarikat penghantaran, boleh je buat tuntutan ke atas mereka.
Peguam terkenal, Nor Zabetha dari Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co berkongsi kisah satu syarikat kurier yang disaman hanya kerana lewat menghantar pesanan.
Kadang-kadang kita yang menjalankan perniagaan online akan membuat serahan barangan melalui khidmat kurier dan penghantaran secara pos.
Banyak jugalah timbul rasa tidak puas hati dengan syarikat kurier tetapi ramai yang tidak teruskan dengan saman.
Kali ini saya hendak kongsi kes di mahkamah yang menyaman syarikat kurier dengan tuntutan 1 juta kerana kelewatan syarikat kurier membuat penghantaran sehingga menyebabkan kerugian. Berjaya atau tidak dapat sejuta ini? Baca dulu.
Dalam kes ABP PERFAB (M) SDN BHD lwn. NATIONWIDE EXPRESS COURIER SERVICES BHD, [2012] 1 CLJ 704, pada tahun 2003, ABP telah menggunakan khidmat Nationwide Express (NE) untuk menghantar satu dokumen tender pada 11/6/2003, pada pukul 10 pagi iaitu 2 jam sebelum masa tender tamat.
Dokumen tersebut gagal diserahkan pada waktu yang diarahkan oleh ABP, sehingga menyebabkan ABP gagal memperolehi tender RM1 juta tersebut.
ABP telah memulakan kes di mahkamah dengan alegasi bahawa defendan telah memungkiri kontrak dan/atau cuai untuk menyerahkan dokumen tender itu pada atau sebelum masa yang telah diendorskan atas sampul surat yang mengandungi dokumen tender itu.
Tetapi NE menghujahkan pembelaan bahawa ABP, tidak boleh menyaman NE sehingga RM1 juta. Kalau pun NE bersalah. NE hanya perlu bayar RM200 sahaja kerana telah terkandung dalam syarat-syarat kurier NE iaitu"'Standard Conditions of Carriage yang merupakan syarat terdahulu penerimaan konsainan oleh ABP, liabiliti NE adalah terhad kepada RM200.
NE juga berhujah bahawa "Standard Conditions" tersebut terdapat di muka hadapan kesemua nota-nota konsainan NE termasuk bagi penghantaran dokumen tender ABP.
Jadi untuk fahaman mudah saya simpulkan maksud NE di sini. NE kata, syarat awal hendak gunakan servis mereka adalah pengguna perlu setuju, kalau berlaku tuntutan ganti rugi, kerosakan atau apa sahaja yang tak puas hati sekalipun. Ya! Mereka akan bayar tetapi maksimum RM200. Itu sahaja walaupun kerosakan adalah lebih.
Untuk menepis dakwaan ini ABP mempertahankan bahawa Standard Conditions dalam nota-nota konsainan adalah kurang jelas, kabur dan tidak pasti dan juga tiada notis yang munasabah telah diberikan kepada plaintif terhadap "Standards Conditions" tersebut. Oleh itu tidak terpakai syarat ini.
Jadi berdebatlah kedua-dua mereka ini, yang ABP kata begini dan NE pula kata begitu. Siapa yang menang? Mahkamah bersetuju bahawa NE telah gagal menyampaikan dokumen berdasarkan tempoh masa yang ditetapkan.
Oleh yang demikian NE perlu membayar kepada ABP ganti rugi. Pun begitu memandangkan mahkamah juga bersetuju liabiliti NE adalah terhad kepada RM200. Jadi NE perlu membayar RM200 sahaja.
Tetapi memandangkan Defendan (NE) telah berjaya dibuktikan cuai dan menyebabkan ABP membawa kes ini ke mahkamah, jadi NE perlu membayar kos mahkamah sebanyak RM8,000 kepada ABP. Masih juga tidak sampai ratus ribu, jumlah ganti rugi diperolehi.
Mahkamah juga berpendapat bahawa dakwaan ABP bahawa peruntukan klausa pembatasan liabiliti NE adalah kabur, tidak pasti dan kurang jelas adalah tidak berasas. ABP tidak boleh menafikan bahawa ianya telah bersetuju menerima terma-terma yang termaktub dalam "Standard Conditions" itu.
Begitulah keputusan kes ini. Dalam kes ini, mahkamah juga merujuk kepada beberapa kes yang mengandungi prinsip undang-undang yang sama iaitu berkenaan tanggungjawab syarikat kurier.
Memang ada tanggungjawab, tetapi liabilitinya terhad. Maksudnya jika mereka cuai, mereka perlu bayar ganti rugi tetapi tidak banyak dan semuanya terikat kepada syarat-syarat.
Pesanan saya, kalau hendak guna syarikat kurier bagi tujuan penghantaran, janganlah hantar sesuatu yang terlalu benilai seperti handphone, barang kemas atau apa sahaja melebihi nilai ganti rugi yang dibenarkan. Seolah-olah mencari masalah.
Kalau nilai yang mahal, kita ambil inisiatif hantar sendiri atau cari alternative lain atau mungkin naikkan nilai liabiliti/ insurans penghantaran (jika ada).
Jangan dek kerana kecuaian kita, ambil mudah cara penghantaran kita mengalami kerugian.
Sumber : Nor Zabetha
Pelakon Akui Ikut Ajaran Sesat, Bahaya Ajaran Millah Abraham Di Malaysia

Umat lslam hari ini memang banyak cabaran yang perlu ditempuhi, dengan Islamphobia, pelbagai pendemik dan paling teruk ialah cabaran akidah yang boleh mengancam keselamatan akidah umat lslam sendiri.
ARTIKEL BERKAITAN: “Dah Lama Perasan Tempat Ni,” Wujud Ajaran Ayah Pin Versi Baharu Di Lembah Klang?
Ancaman ajaran sesat adalah paling merbahaya kepada akidah umat lslam yang dibawa oleh individu atau golongan tertentu.

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan pendedahan seorang pelakon aksi, Pablo Amirul mengenai ajaran sesat Millah Abraham selepas ia tular di media sosial. Apa yang lebih mengejutkan, pelakon Polis Evo itu juga mengakui pernah terjebak dan kini menyesal mengikuti ajaran sesat tersebut.
Dalam masa sama, pelakon filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu memaklumkan sudah dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bakal bertemu jabatan agama dalam masa terdekat.
Terdahulu, menerusi perkongsian secara langsung di Facebook (FB), Pablo mendedahkan dirinya sudah dua tahun mengikuti ajaran sesat berkenaan. Jelas Pablo, dia berbuat demikian selepas mengikuti seorang wanita yang juga bekas kekasihnya dipercayai juruterbang.
Ajaran Millah Abraham Terpesong Dan Sangat Merbahaya
Ajaran Millah Abraham telah difatwakan sebagai menyeleweng dan bertentangan oleh Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Muzakarah MKI) Kali Ke-109 pada 2016.

Mana-mana orang Islam yang telah berbaiah atau mengamalkan fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT.
Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah mengeluarkan artikel mengenai Millah Abraham di ruangan Bayan Linnas yang ditulis oleh Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri satu ketika dahulu.
Millah Ibrahim & Penyelewengan Yang Terdapat Di Dalamnya
Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada aduan bekas pengikut, penyamaran dalam kumpulan terbabit dan sumber-sumber lain yang boleh dipercayai mendapati kumpulan ini membawa ajaran dan amalan yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan syariat Islam antaranya seperti berikut:
1) Mendakwa Ada Rasul Selepas Nabi Muhammad SAW
Mereka mendakwa bahawa ajaran Islam yang ada sekarang adalah palsu dan satu umat baru akan dipertanggungjawabkan untuk menegakkan deen ketika itu Allah akan menghantar rasul atau messiah (bahasa Ibrani) seperti sunnatullah yang terdahulu dan mengikut kaum mereka sendiri. Firman Allah SWT:
وَلِكُلِّ أُمَّةٖ رَّسُولٞۖ فَإِذَا جَآءَ رَسُولُهُمۡ قُضِيَ بَيۡنَهُم بِٱلۡقِسۡطِ وَهُمۡ لَا يُظۡلَمُونَ ٤٧
Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya); setelah datang Rasul masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiaya.
(Yunus: 47)
Mereka menafsirkan bahawa Allah SWT mengutuskan rasul dari kalangan kaum mereka sendiri untuk memudahkan kaum tersebut memahami dan mengajar kaum untuk keluar daripada kesesatan. Maka, Rasul Millah Ibrahim@Abraham diutuskan dari kalangan bangsa Melayu nusantara untuk membaca, menyuci serta mengajar kaum Melayu nusantara ini mengenai agama yang benar. Rasul yang dimaksudkan oleh kumpulan ini ialah Ahmad Musadeq seperti mana yang didakwa oleh pengadu dan pengikut ajaran ini.
2) Menggabungkan Tiga (3) Ajaran Agama Iaitu Islam, Kristian dan Yahudi
Selain terjemahan Al-Quran, mereka juga menggunakan kitab Taurat dan Injil di dalam pengajian mereka kerana di dalam Al-Quran telah membenarkan kitab Taurat dan juga menerangkan bahawa kitab Taurat dan Injil sebagai panduan yang menerangi. Sepertimana yang disebut di dalam Surah Al-Maidah, ayat ke- 46 yang bermaksud:
وَقَفَّيۡنَا عَلَىٰٓ ءَاثَٰرِهِم بِعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلتَّوۡرَىٰةِۖ وَءَاتَيۡنَٰهُ ٱلۡإِنجِيلَ فِيهِ هُدٗى وَنُورٞ وَمُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَهُدٗى وَمَوۡعِظَةٗ لِّلۡمُتَّقِينَ ٤٦
Maksudnya: Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
Mereka mendakwa ayat ini selaras dengan Injil Metius (perjanjian baru) 5/17. Selain itu mereka juga mendakwa bahawa Taurat, Injil dan Al-Quran akan ditegakkan semula dalam kerajaan baru. Oleh itu, selain Al-Quran mereka mendakwa bahawa kedua-dua kitab tersebut tidak boleh ditolak untuk dijadikan panduan bagi menegakkan deen.
3) Meninggalkan Solat Lima Waktu & Solat Jumaat
Berdasarkan aduan, pengajian dan penelitian terhadap pengikut-pengikut ahli kumpulan ini, didapati bahawa mereka tidak melaksanakan solat fardhu yang diwajibkan ke atas semua mukallaf. Mereka mengatakan solat itu “sillah” iaitu hubungan dengan ajaran Millah tersebut dan makna lain iaitu bersungguh-sungguh menegakkan deen melalui Millah Ibrahim bukan maksud solat yang dilakukan sekarang oleh orang Islam kerana solat tonggang-tonggek itu senang, tetapi solat menegakkan deen itu lebih mujahadah dari segi harta dan tenaga sepertimana yang disebut di dalam Surah Al-Hajj, ayat ke-78:
وَجَٰهِدُواْ فِي ٱللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِۦۚ هُوَ ٱجۡتَبَىٰكُمۡ وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٖۚ مِّلَّةَ أَبِيكُمۡ إِبۡرَٰهِيمَۚ هُوَ سَمَّىٰكُمُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ مِن قَبۡلُ وَفِي هَٰذَا لِيَكُونَ ٱلرَّسُولُ شَهِيدًا عَلَيۡكُمۡ وَتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِۚ فَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱعۡتَصِمُواْ بِٱللَّهِ هُوَ مَوۡلَىٰكُمۡۖ فَنِعۡمَ ٱلۡمَوۡلَىٰ وَنِعۡمَ ٱلنَّصِيرُ ٧٨
Maksudnya: Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.
(Al-Hajj: 78)
Selain itu, mereka mengatakan bahawa Al-Quran itu telah lengkap dan fungsinya adalah mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Tetapi solat lima waktu yang dilakukan sekarang tidak ada disebut di dalam Al-Quran. Oleh itu, berdasarkan ayat di atas solat bermaksud bersungguh-sungguh menegakkan deen.
4) Mengadakan Bai’ah (perjanjian) Oleh Anggota Millah Ibrahim
Kumpulan ini juga mewajibkan anggotanya untuk membuat akujanji (bai’ah). Amaran kepada sesiapa yang melanggar janji dan ganjaran bagi mereka yang setia pada janji adalah tertegaknya deen, bukannya mengharapkan pahala. Mereka juga mengatakan bahawa wajib bagi seorang isteri yang ingin menyertai Millah Ibrahim menuntut cerai jika suami menolak menyertai kumpulan ini atau sebaliknya.
**
Untuk info, setiap pengikut ajaran Millah Abraham perlu membayar wang untuk bertaubat, menuntut cerai ke atas pasangan yang tidak menyertai gerakan, menggunakan kelas al-Quran dalam talian bagi menarik pengikut baharu.
Itu sebahagian dari modus operandi dan strategi ajaran sesat Millah Abraham @ Ibrahim yang difatwakan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 September 2015.
Semoga Allah S.W.T melindungi dan memberikan hidayah dan taufiq-Nya kepada kita dalam menjalani kehidupan yang sedang kita tempuhi ini dengan sentiasa mendapatkan inayah daripada-Nya. Ameen.
BACA : Pelakon Remaja Ikuti Gerakan Agama Sesat? Syrul Ezwan Bagi Penjelasan
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kementerian Pendidikan Terima Peruntukan Terbesar #Belanjawan2020, Tidak Lupa Pelajar OKU!

Masih berkisar tentang Pembentangan Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Dewan Rakyat petang tadi memang dinantikan seluruh rakyat Malaysia terutamanya apabila berlaku peralihan pentadbiran negara daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan.
Kementerian Pendidikan terus menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2020 membabitkan RM64.1 bilion, peningkatan sebanyak RM3.9 bilion berbanding RM60.2 bilion pada belanjawan tahun ini.
Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menekankan tanggungjawab dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang dapat memberi manfaat kepada pelbagai.
Menurut Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, peruntukan RM23 juta kepada sekolah kebangsaan bagi pembangunan kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu golongan itu mendapat pendidikan sama rata.
Selain itu, peruntukan ini juga memberi kelegaan kepada ibu bapa pelajar OKU yang ingin anak mereka tidak tercicir dalam mendapatkan ilmu pembelajaran.
“Ini merupakan berita gembira kepada anak-anak berkeperluan khas atau OKU dan ibu bapa mereka kerana buat pertama kali RM23 juta diperuntukkan untuk kita mengamalkan polisi penolakan sifar di mana kanak-kanak OKU tidak akan dinafikan hak pendidikan disebabkan kelainan upaya mereka,”ujarnya
Menjadi kementerian yang menerima peruntukan terbesar, Maszlee berkata beliau amat puas hati dan menganggapnya sebagai amanah dalam memastikan setiap peruntukan sampai kepada golongan sasar.
Sementara itu, Pengarah Pusat Genius Kurnia yang juga pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaaan Malaysia Profesor Madya Dr Hasnah Toran berkata peruntukan itu secara langsung menunjukkan kesungguhan kementerian dalam memperjuangkan hak anak-anak kurang upaya untuk ke sekolah dan mendapat pendidikan yang sewajarnya.
Syabas buat Dr Maszlee Malik, Remaja berharap #belanjawan2020 ini dapat membantu menaik taraf dan meningkatkan sistem pendidikan buat pelajar kurang upaya (
Sumber : Twitter Dr Maszlee Malik, Bernama.com