‘Sejujurnya Saya Pernah Rasa Putus Asa, Tapi…’ -Suami Sumber Dorongan Intan Najuwa Untuk Terus Tamatkan Pengajian

Share

Tidak dinafikan, memiliki suami yang saling tidak pernah lekang menyokong isteri tercintanya adalah sebuah rezeki buat pasangan yang telah berumah tangga.

Ya, itulah yang dapat digambarkan buat pelakon jelita, Intah Najuwa yang bertuah memiliki suami yang begitu menyokong isterinya yang kini sibuk dalam menamatkan pengajian.

ARTIKEL BERKAITAN: Kebanggaan ‘Anak’ Teater, Azri Safix & Nurel Tempah Nama Sebagai Pelakon Menerusi Hero Dewi Remaja 2023

Sedia maklum, pelakon berusia 26 tahun ini masih dalam pengajian peringkat asasi dalam jurusan undang-undang sebuah kolej di Singapura.

Berkata kepada Remaja, dirinya cukup bertuah dikurniakan pasangan yang tidak pernah berhenti memberi sokongan mental dan fizikal, meskipun di saat dirinya berada di titik yang bawah untuk menghabiskan pengajiannya.

“Saya masih lagi belajar, suami saya tidak bagi berhenti kerana dia cakap pengajian saya ini sudah separuh jalan.

“Sejujurnya, saya pernah juga rasa berputus asa. Namun suami saya cakap ‘tidak mengapa, teruskan sahaja dan jangan berhenti. Tak kisahlah lagi dua atau tiga tahun lagi kena habiskan’.

“Sebab itulah perlu cari pasangan yang betul-betul saling menyokong. Bukan sahaja dari segi kewangan, kena yang memahami dan menyokong,” katanya.

Pelakon drama hit Saat Kau Takluk Cinta Ini berkata demikian ketika ditemu bual di majlis pelancaran produk terbaharu jenama penjagaan kulit, Nivea, serum anti bintik nombor satu dunia, Nivea Luminous, di Mid Valley Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Intan turut memaklumkan dirinya tetap perlu kuat untuk menamatkan pengajian kerana dia mendedahkan suaminya juga amat mementingkan pembelajaran.

“Jadi, agak-agak bila saya boleh tamatkan pengajian ini, saya selalu cakap lagi setahun lebih dan berulang kali, tetapi sebenarnya saya dah ‘drag’ panjang ini kerana saya dah banyak main-main.

“Tetapi, saya tetap kena kuat juga, jika tidak nanti suami saya membebel jugalah kerana dia sangat mementingkan pembelajaran,” ujarnya lagi.

Sekadar informasi, Intan telah mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihan hatinya yang juga ahli perniagaan, Datuk Ahmad Azraf Azman, 39, di sebuah resort di Desaru Coast pada tanggal 18 Ogos lalu.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: Instagram Intan Najuwa

Published by
Fath