Sejuk perut ibu mengandung. Itulah yang boleh kami katakan selepas mendengar berita tiga beradik dari Kampung Banggol Batu, Lenggong telah melakar kenangan manis apabila berjaya merangkul johan untuk tiga kategori berbeza Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri 2022M/1443H.
Adibah Husni Ahmad Rozaini, 25, merangkul johan bagi kategori hafazan 1-30 juzuk wanita manakala dua adiknya, Aqilah Sulhi Ahmad Rozaini, 24, dan Muhammad Adib Ahmad Rozaini, 22, masing-masing johan bagi kategori hafazan 1-20 juzuk wanita dan hafazan1-20 juzuk lelaki.
Menurut Adibah, ia kali kedua dia bersama dua adiknya itu menyertai pertandingan hafazan peringkat negeri selepas tahun lalu, namun ketika itu hanya dia dan Aqilah Sulhi yang merangkul johan bagi kategori sama manakala Muhammad Adib sekadar menduduki naib johan.
Tahun ini Muhammad Adib layak mewakili Perak ke peringkat kebangsaan memandangkan ia kali pertama merangkul johan bagi kategori yang disertainya iaitu hafazan 1-20 juzuk lelaki.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan berangkat ke majlis itu selain Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah; dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.
Tahniah diucapkan kepada tiga beradik ini kerana telah membanggakan kedua ibu bapa dan keluarga mereka. Semoga lebih ramai lagi anak muda cintakan al-Quran dan dapat mengamalkannya.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: (1)
https://www.youtube.com/watch?v=9DQhaU6VfAM