Sekitar Majlis Resepsi Ikmal Amry & Najla, Disambut Sederhana Tapi Tetap Meriah

Share

Kelmarin telah berlangsung majlis resepsi perkahwinan sebelah keluarga perempuan pasangan pengantin baru Ikmal Amry dan Najla Samshul. Dengan hanya sekali lafaz, Ikmal Amry atau lebih mesra dengan panggilan Am, sah menjadi suami kepada gadis berusia 22 tahun.

Am langsung tidak menyangka bahawa dirinya akan berkahwin dalam usianya seawal 26 tahun, namun dia akur jodoh mereka berdua sudah sampai dan personaliti ini juga percaya perkahwinan juga adalah salah satu rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.

“Alhamdulillah, kami sudah sah bergelar suami dan isteri. Apa yang Am boleh cakap, kepada mereka yang masih single dan sudah mempunyai pasangan, kahwin la cepat-cepat kerana perasaan selepas berkahwin itu sungguh berbeza. Selepas selesai sahaja akad nikah pagi semalam, Am rasa sangat lega dan menyesal pula tak kahwin lebih awal,” jawabnya sambil ketawa.

Ikmal & Najla cantik menggayakan busana rekaan Rizman Ruzaini
Kredit foto: loav.film

Bagi setiap pasangan suami isteri, sudah tentu mereka menginginkan perkahwinan dan keluarga yang bahagia hingga ke akhir hayat. Ikmal Amry juga berharap agar perkahwinannya ini direstui semua pihak, terutama bagi para peminatnya.

“Ramai peminat yang frust bila tahu Am dah kahwin, tapi tak mengapa ramai lagi kumbang di luar sana (haha). Am cuma harap korang semua mendoakan perkahwinan kami bahagia hingga ke anak cucu,”

Kredit foto: loav.film
Kredit foto: loav.film

Ditanya soal zuriat, pasangan ini tidak menolak sekiranya dikurniakan anak dalam waktu terdekat ini. Tidak seperti pasangan pengantin baru yang lain, mungkin ada segelintir dikalangan mereka ingin menikmati hidup berdua terlebih dahulu sebelum menimang cahaya mata.

“Am dah kenal Najla selama 4 tahun dan bagi Am, kami dah cukup lama mengenali diantara satu sama lain. Jadi, tiada istilah nak ‘chill-chill’ dulu ke apa, kalau dah memang Allah beri rezeki kami cepat dikurniakan zuriat, kami terima seadanya dan tidak menolak,” sambungnya

Majlis Resepsi Disambut Sederhana

Bertempat di A’ Famosa Resort Melaka, majlis hanya dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak pengantin dan rakan terdekat sahaja. Dewan yang sebenarnya boleh dimuatkan seramai 600 orang ini hanya dibenarkan untuk menjemput lebih kurang separuh sahaja dari jemputan sebenar.

“Kami ingin meminta maaf sekiranya ada pihak yang tidak dapat dijemput kerana majlis resepsi ini pun adalah disebelah pihak pengantin perempuan. Keluarga Am pun tak ramai semalam, dan hanya beberapa kenalan rapat dijemput. InsyaAllah, rakan-rakan yang lain akan dijemput di majlis resepsi keluarga lelaki akan datang,”

Kredit foto: loav.film
Kredit foto: loav.film

“Sejujurnya kami tidak mempunyai tarikh tetap lagi untuk mengadakan majlis resepsi pihak lelaki. InsyaAllah ia akan dilangsungkan di Kuala Lumpur dan buat masa ini, kami masih lagi tengah survey dewan yang sesuai untuk majlis itu nanti,” katanya.

Am kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem pertamanya, Rasuk yang dijadualkan akan ditayangkan pada tahun hadapan. Pada 23 Disember nanti, pengantin baru ini akan kembali semula ke set penggambaran filem tersebut.

Ditanya sama ada dia mengizinkan isterinya untuk menceburkan diri dalam industri hiburan, Am tidak menghalang isterinya untuk berlakon atau apa sahaja yang ingin dilakukan asalkan ia tidak bertentangan dengan agama.

Kredit foto: loav.film

“Alhamdulillah, Najla pun sudah menerima tawaran bekerja. Selain itu, Am juga tidak menghalang sekiranya dia nak berlakon atau membuat iklan televisyen komersil. Kalau dia nak duduk rumah saja pun Am tak kisah kerana bagi Am, Am yang akan mencari duit untuk keluarga. Jadi, kalau dia bosan duduk di rumah, dia boleh bekerja, tapi kalau nak jadi suri rumah sahaja pun Am okay je,” tambahnya lagi.

Kredit foto: loav.film
Kredit foto: loav.film

Remaja sekali lagi ingin mengucapkan tahniah buat pasangan sejoli ini dan semoga bahtera yang dibina berkekalan hingga akhir hayat.

Selamat pengantin baru Ikmal Amry & Najla!

Published by
Noor Ain Norman