Minggu ini merupakan minggu yang amat mengujakan bagi remaja di Malaysia apabila sesi persekolahan secara bersemuka di 10 buah negeri telahpun selamat dimulakan sejak Ahad lalu. Hanya negeri Johor dan Kedah yang masih tidak membenarkan pelajar pulang ke sekolah kerana kadar vaksinasi di sana yang belum mencecah tahap dikehendaki.
Setelah berbulan-bulan perlu mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah atau PdPR, akhirnya 143,000 pelajar sekolah menengah di Malaysia dibenarkan kembali ke sekolah.
Seperti yang dilaporkan sepanjang tiga hari ini oleh media tempatan, keadaan di sekolah menengah yang sudah dibuka amatlah tenteram dan segalanya beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Antaranya seperti mengekalkan sistem pengudaraan yang baik dalam kawasan tertutup seperti di dalam bilik darjah, bilik guru, pejabat dan sebagainya; dengan cara menetapkan kapasiti maksimum di dalam sesebuah bilik tersebut.
Biarpun dalam keadaan berhati-hati seperti ini, kehadiran pelajar ke sekolah boleh dianggap memberansangkan. Alhamdulillah secara perlahan-lahan, pelajar Malaysia sudah mula memahami kepentingan meneruskan hidup dalam norma baharu.
*
Lain pula ceritanya dengan sesi persekolahan di Amerika Syarikat apabila satu lagi kes tembakan dilaporkan berlaku.
Kali ini, para pelajar di YES Prep Southwest Secondary School, Houston Texas pula yang terpaksa berdepan trauma setelah tembakan dilepaskan pada 1 Oktober (Jumaat) lalu.
Menerusi video yang dimuat naik ke aplikasi TikTok, insiden mendukacitakan itu terus menjadi tular. Orang ramai terus mempersoalkan tahap keselamatan sekolah di sana.
Pengguna TikTok yang memuat naik video asal didapati telahpun menyahaktifkan akaunnya. Namun video yang kembali dimuat naik di TikTok masih boleh ditonton dan ia kini mencatatkan lebih 5 juta likes.
Video tersebut menunjukkan para pelajar sedang beratur berhampiran pintu kaca yang pecah ditembak dengan deraian kaca pada lantai. Turut kelihatan ialah pegawai-pegawai bertugas yang berdiri di tepi sewaktu pelajar dipimpin keluar.
@puxrp#greenscreenvideo♬ Childish Gambino – This Is America / Post Malone – Congratulations – carneyval
Satu lagi video tular menunjukkan pelajar meninggalkan bangunan dengan mengangkat tangan mereka seolah-olah mereka pula penjenayah yang bersalah.
Sedangkan, penjenayah sebenar ialah bekas pelajar YES Prep sendiri yang dikenali sebagai Dexter Harold Kelsey. Anak muda berusia 25 tahun itu melepaskan tembakan menggunakan senapang jenis rifle dari pintu masuk sekolah dan salah satu pelurunya mengenai bahagian belakang pengetua sekolah, Eric Espinoza. Eric bernasib baik kerana terselamat dan terus menjalani pembedahan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
Motif utama Dexter adalah untuk membalas dendam pada seorang guru lamanya (bukan Eric). Dia mengakui bersalah ke atas percubaan gila itu dan mengaku membeli senapang secara atas talian.
Difahamkan dua hari sebelum kejadian, 900 orang pelajar sekolah tersebut telah mengikuti latihan kecemasan sekiranya berdepan insiden seperti ini.
Lalu apabila kejadian sebenar berlaku hanya 48 jam selepas latihan dijalankan, tentunya mereka teruk dilanda rasa trauma kerana mereka kini sedarl inilah realiti yang boleh berlaku di sekolah Amerika Syarikat.
*
Beruntunglah dan bersyukurlah pelajar sekolah di Malaysia masih dapat mengikuti kelas secara aman dan tenteram.