Makin canggih pengalaman budak sekolah sekarang dapat merasa macam-macam teknologi di sekolah mereka. Ada sekolah yang kini sudah menggunakan lif, dan terbaru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Aziz, Simpang Empat di Alor Setar menjadi sekolah pertama di Kedah yang menggunakan mesin pengimbas wajah bagi merekodkan kedatangan pelajar dan guru.
Fuhh, kami dulu tak merasa macam ni. Nak tahu pelajar datang sekolah atau tidak, cikgu akan panggil nama seorang demi seorang dan kita ni kenalah angkat tangan sebagai tanda kehadiran. Hiks!
Ish, rindu pula zaman sekolah.
Menyentuh soal mesin pengimbas wajah disekolah, Pengetua Nur’asikin Othman berkata mesin tersebut adalah alternatif yang diambil bagi mengatasi masalah pelajar dan guru yang tidak dapat menggunakan mesin pengimbas jari yang digunakan sebelum ini.
Walau bagaimanapun, penggunaannya terhad kepada 100 pengguna sahaja.
Khabarnya, kedua-dua mesin itu sangat membantu mengurangkan masalah disiplin di kalangan pelajar kerana pelajar bermasalah di sekolah tersebut diwajibkan menggunakan mesin pengimbas wajah untuk merekodkan kehadiran mereka.
Malah, mesin ini juga dihubungkan dengan aplikasi Pepatih MySekolah yang mana segala rekod kedatangan dan masalah disiplin pelajar disimpan dalam aplikasi berkenaan.
Hasilnya, sejak sekolah tersebut mengambil inisiatif berkenaan, masalah pelajar pulang awal sebelum tamat sesi persekolahan dapat dicegah. Peratus pelajar ponteng kelas juga sudah berkurangan kerana semua guru boleh membuat laporan ke dalam aplikasi ini sekiranya ada pelajar yang ponteng ketika kelasnya berlangsung.
Wah, nampak aplikasi ini macam sangat membantu. Lepas ni confirm dah tak ada yang berani nak ponteng kelas.
Kalau dapat diaplikasikan pada semua sekolah di Malaysia, sudah tentu gejala ponteng dapat dikurangkan. Betul tak?
Sumber: Harian Metro