Sekolah Sultan Alam Shah Cemerlang Menang Kedua-Dua Kategori Debat Piala Perdana Menteri

Share

Chita Usaha Jaya!

Kecemerlangan Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) diteruskan lagi menerusi pasukan debat Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris apabila mereka berjaya menggondol kejuaraan bagi kedua-dua kategori pada Pertandingan Akhir Debat Piala Perdana Menteri kali ke-47 yang berlangsung semalam di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Pada pusingan akhir yang berlangsung dalam dua sesi itu, pasukan debat Bahasa Melayu SAS telah berjaya menewaskan pasukan dari Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASiS) manakala bagi debat Bahasa Inggeris pula, pasukan debat SAS mengetepikan saingan hebat dari pasukan Kolej Tunku Kurshiah (TKC).

Menjadikan kemenangan mereka lebih manis, trofi Pendebat Terbaik bagi kedua-dua kategori turut dimenangi oleh pendebat SAS. Muhd Amin Nasirudin diangkat sebagai pendebat terbaik kategori Bahasa Inggeris manakala Muhd Iman Syahmi Mizuan pula diangkat sebagai pendebat terbaik kategori Bahasa Melayu.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Radzi Jidin. Beliau menitipkan pesanan dan juga pandangan mengenai pertandingan tersebut. “Dalam konteks inovasi pendidikan, konsep debat ini boleh digunakan dalam kelas sebagai thematic learning atau pendidikan berasaskan tema bagi membina kebolehan murid untuk memahami konsep dan tema seterusnya membina keyakinan diri untuk berhujah.

“Kepada semua anak-anak generasi pewaris negara, yakinlah setiap daripada anda mempunyai kebolehan dan kekuatan. Apa yang penting, fokus untuk terus bina kekuatan diri berdasarkan kelebihan yang ada. Dengan keyakinan, usaha dan tawakal insyaAllah, kekuatan tersebut dapat memberi manfaat yang lebih meluas.

“Tahniah kepada SAS kerana muncul juara bagi kedua-dua kategori. Kepada pasukan TKC, ASIS dan pasukan lain, anda telah lakukan yang terbaik. Teruskan usaha untuk mencapai kejayaan dalam apa jua yang dilaksanakan,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya Sujud Syukur Di Padang Sekolah Selepas Dapat Keputusan Cemerlang PT3

Sebagai juara kedua-dua kategori pendebat Sekolah Sultan Alam Shah Membawa pulang dua piala iringan dan wang tunai bernilai RM6000, manakala pendebat terbaik pula menerima wang tunai bernilai RM500 setiap seorang.

Sepanjang 47 kali penganjuran debat Piala Perdana Menteri sejak tahun 1974, pasukan debat Bahasa Melayu SAS telah menggondol empat kali kejuaraan manakala pasukan debat Bahasa Inggeris pula menggondol tiga kali kejuaraan.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen