Banjir apabila melanda tidak mengenal waktu dan tidak boleh dijangka.
Hujan lebat yang melanda ibu kota petang semalam mengakibatkan banyak tempat ditengelami air antaranya Sekolah Kebangsaan Seri Serdang, Seri Kembangan juga terjejas dimasuki air setinggi paras pinggang.
Dalam kejadian hujan lebat beserta angin kencang, seramai 18 guru iaitu 13 wanita dan lima lelaki manakala murid seramai 14 orang yang terdiri daripada 11 lelaki dan tiga perempuan terperangkap dalam sekolah tersebut.
Laporan dari Bernama menyebut, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian terbabit pada 7.45 malam dan usaha menyelamat mangsa berkenaan dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia.
“Guru dan murid berada dalam keadaan selamat. Kesemua murid Tahun 1 dan Tahun 2 itu kini telah berjaya dikeluarkan jam 9.35 malam menggunakan lori (dan pacuan empat roda) serta diserahkan kepada ibu bapa masing-masing manakala guru diselamatkan kurang setengah jam kemudian,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Beliau berkata, paras banjir di sekolah terbabit mulai surut dan kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dari lokasi kejadian kira-kira pukul 10 malam tadi.
BACA LAGI: Penuntut Universiti Hilang Dan Bapa Mangsa Pertama Banjir Di Pahang – REMAJA
Kecekapan pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang memberikan pertolongan selepas menerima aduan dapat menyelamatkan guru dan pelajar dalam kejadian ini.
Memandangkan sekarang musim hujan lebat berserta ribut petir, berhati-hati ya.