Sekumpulan Remaja Sesat Di Gunung Hitam Ditemui Selamat, Ini Tip Hantar Isyarat Jika Kecemasan

Share

Sesat dalam hutan adalah situasi paling ditakuti oleh individu yang sering melakukan aktiviti-aktiviti seperti hiking, mahupun jungle trekking.

Semalam, sekumpulan remaja lelaki yang dipercayai sesat sejak semalam ketika beriadah di kawasan Jeram Gunung Hitam, Hulu Langat ditemui selamat pagi tadi.

Foto Via Sinar Harian

Menurut Bernama, ketujuh-tujuh mangsa yang berusia 18 tahun dibawa keluar pihak penyelamat kira-kira jam 5.59 pagi tadi. Memetik laporan Sinar Harian pula, salah seorang pengguna Facebook memaklumkan terserempak jentera bomba ambulans di lokasi kejadian.

Malah salah seorang warganet turut meninggalkan komen mengaku sempat terserempak dengan tujuh remaja lelaki tersebut sejurus turun dari mendaki.

“Mereka baharu nak mendaki Gunung Hitam. Saya sempat tegur dan mereka kata hendak berkhemah. Mereka sempat berseloroh lepas habis PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) baru keluar dari sini,” kata pengguna Facebook tersebut, memetik laporan Sinar Harian.

Menerusi gambar papan tanda maklumat yang dikongsi di Facebook, ketujuh-tujuh mangsa dipercayai melalui trek di Kem Sungai Lawing untuk bermandi-manda di sungai. Namun kesemua mereka terkandas di lereng bukit selepas hujan.

Kalau jadi dekat kita mesti dah cuak gila kan? Jadi korang boleh buat tip ini sekiranya tersesat dalam hutan yang telah dikongsi oleh Media Hutan

.

Kalau korang selalu masuk hutan, mesti korang pernah nampak batang pokok yang besar kan? Ia dipanggil sebagai banir. Banir ini mempunyai kegunaan yang sangat banyak terutamanya bagi individu yang sesat dan memerlukan pertolongan.

Mesti korang selalu jumpa dalam hutan kan?

Macam mana cara nak hantar isyarat kecemasan/minta bantuan guna banir ini? korang boleh ikut langkah-langkah seperti berikut:

1. Pegang parang/batang kayu sederhana besar di tangan

2. Ketuk bahagian atas banir menggunakan belakang parang/batang kayu sederhana besar dengan kuat

3. Ulangi ketukan sebanyak 2 kali untuk memberikan isyarat kepada pasukan penyelamat ataupun pendaki lain

4. Pastikan korang menjarakkan 2-3 saat diantara setiap ketukan untuk memberikan masa dan isyarat yang betul kepada orang lain yang mendengar

Selama ni nampak di hutan ingatkan hanya sebatang pokok yang besar, tetapi rupanya ternyata banir ini ada kegunaannya. Kalau korang nak tahu, bunyi yang terhasil daripada ketukan banir ini boleh didengari sejauh beberapa kilometer bergantung pada lokasi korang ketika itu.

Hebat kan? Walaupun mungkin kita jarang sekali masuk ke hutan, namun kami percaya informasi ini sangat berguna untuk pengetahuan bersama.

Sumber: BernamaSinar Harian, Media Hutan.

Published by
Nana