Tiada apa yang lebih menyedihkan apabila kehilangan anak yang menjadi tonggak harapan keluarga. Apatah lagi pada usia muda, anak sudah menunjukkan sikap berdikari dan membantu keluarga.
Pemergian Muhammad Saifullah Mohammad Hafeiz, 16, yang meninggal dunia dirempuh bas di Setia Triangle, Bayan Lepas, semalam memberikan seribu kesedihan buat ibunya kerana anak sulung dari 7 beradik itu adalah tonggak harapan keluarganya.
Jelas ibu muda ini, dari awal lagi anaknya sudah menunjukkan petanda pelik dengan tidak menyelaminya seperti biasa.
“Biasa sebelum keluar, arwah akan salam saya tapi semalam tidak. Mungkin dia tidak mahu saya bersedih. Sepanjang hayatnya, dia sedikit pun tidak pernah susahkan kami, bahkan dia suka berdikari.Mencari wang sendiri jika mahukan sesuatu,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Kata Siti Hajar lagi, sejurus selepas anaknya itu keluar, dirinya mendapat panggilan telefon memaklumkan kemalangan yang menimpa dirinya.
“Hati ini terlalu sedih dan sukar untuk saya terima berita begini,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Mustaghfirin di Sungai Tiram, Bayan Lepas.
Kemalangan semalam yang meragut nyawa pelajar tingkatan empat yang bekerja sambilan sebagai runner penghantar pizza hut sememangnya mencetuskan simpati orang ramai.
Dalam kejadian jam 6.30 petang semalam, sebuah bas persiaran dari arah Persiaran Kelicap ke Bayan Lepas dikatakan hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan dan merempuh sebuah lagi kereta dipandu wanita bersama dua anaknya.
Bas itu kemudian merempuh motosikal yang diletakkan di tepi jalan dan motosikal yang ditunggang Muhammad Saifullah yang ketika itu berhenti di persimpangan lampu isyarat
PENUNGGANG motosikal yang maut dirempuh bas dalam kemalangan di persimpangan Jalan Dato Ismail Hasyim di Bayan Lepas petang semalam, adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara dan bekerja separuh masa di sebuah restoran makanan segera.
Jenazah pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara ini selamat dikebumikan pada jam 11 pagi tadi.
Dalam pada itu, Siti Hajar berkata, anak sulung daripada tujuh beradik itu adalah harapan keluarga kerana semangatnya dan sikap suka membantu dia dan suaminya.
Katanya, Muhammad Saifullah bekerja sambilan sebagai penghantar makanan di sebuah restoran makanan segera sejak Mei lalu.
“Dia masih bersekolah, tetapi dari dulu dia jenis tidak suka duduk diam dan akan membuat kerja-kerja sambilan untuk mengumpul duit demi masa depannya.
“Malah, dia beritahu dia tidak mahu susahkan saya dan ayahnya, jadi apa sahaja dia nak, dia yang akan berusaha sendiri,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Hafeiz menyifatkan anak lelakinya itu seorang pendiam kerana sifatnya yang kuat berdikari.
“Namun, dia anak yang baik, tidak pernah sekali pun susahkan saya dengan ibunya, malah rapat dengan keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata, seorang pemandu kereta dan dua anaknya yang menaiki kereta Suzuki Swift turut cedera dalam kejadian itu.
“Mereka diberi bantuan sejurus kejadian oleh pihak berkuasa dan wanita serta dua anaknya dibawa ke hospital,” katanya.
Menurut Anbalagan, berdasarkan maklumat awal didapati bas berkenaan yang datang dari arah Persiaran Kelicap ke Bayan Lepas pada mulanya bergesel dengan sebuah kereta yang parkir di tepi jalan sebelum melanggar Suzuki Swift terbabit yang sedang membelok ke kanan.
“Selepas itu, bas yang dipercayai gagal dikawal melanggar sebuah lagi motosikal parkir di bahu jalan sebelum ke lampu isyarat Jalan Dato Ismail Hasyim.
“Sebaik sampai di persimpangan itu, bas terbabit melanggar motosikal mangsa yang sedang berhenti di lampu isyarat sebelum merempuh tembok batu pagar perumahan berdekatan,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan awal polis dipercayai bas berkenaan hilang kawalan disebabkan masalah brek dan pemandunya kini ditahan dan akan menjalani ujian saringan awal air kencing.
Al Fatihah (dengan bacaan untuk arwah). Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman dan beramal soleh.