Berita

Selama Ini Kita Tersalah Sebut Nama Bekas ‘First Lady’ Malaysia! “Nama Saya Hanya Hasmah…”

Share

Setelah sekian lama dikenali oleh rakyat Malaysia dan antarabangsa sebagai ‘Siti Hasmah’; isteri bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa ada rahsia di sebalik namanya itu.

Menerusi segmen podcast ‘Coffee With Ryan’ oleh Pusat Perubatan Prince Court Sabtu lalu, beliau mendedahkan bahawa nama asalnya tidak mempunyai ‘Siti’. Sebaliknya, ia hanyalah Hasmah Mohd Ali.

“Saya perlu betulkan… (nama) saya bukan Siti. Saya tidak dilahirkan sebagai Siti Hasmah (nama diberi). Saya hanya lahir (dengan nama) sebagai Hasmah,” kata wanita berusia 98 tahun itu.

Tun Dr Hasmah Mohd Ali.

‘Siti’ menurutnya hanyalah sekadar gelaran yang diberikan setelah beliau dan suami, Dr Mahathir berpindah dari Alor Setar, Kedah ke Kuala Lumpur. Ini kerana gelaran ‘Siti’ merupakan salah satu fenomena dalam kalangan rakyat Malaysia pada waktu itu dan merupakan nama popular yang diberikan kepada bayi perempuan.

“Ada Siti Nurhaliza (tidak lama selepas itu), ada Siti itu ada Siti ini. Jadi, mereka letakkan nama Siti di hadapan nama saya. Tetapi saya tidak (bernama Siti Hasmah), saya hanyalah Dr Hasmah,” jelasnya.

Dengan itu juga, Tun Dr Hasmah menyeru agar orang ramai tidak lagi memanggilnya dengan gelaran ‘Siti’ di hadapan nama sebenarnya.

Sebagai info, Tun Dr Hasmah merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak pada tahun 1970.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti

Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Published by
FZ