Dalam Negara

Selangor Cipta Kejutan ‘Gegar’ Kelab Jeonbuk Asal Korea Selatan Di Perlawanan ACL2

Share

Baru-baru ini, pasukan Selangor FC melakar kejutan apabila berjaya menumbangkan kelab dari Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors FC 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Rabu, semalam.

Pada separuh masa pertama menyaksikan skuad Gergasi Merah lebih agresif mengasak kubu Jeonbuk dan berjaya membuka tirai jaringan menerusi kapten, Harith Haiqal Adam Afkar pada minit 30.

Gol tersebut diraih berpunca daripada sepakan percuma Yohandry Orozco yang menemui Umarbek Eshmurodov sebelum dia menghantar kepada Harith untuk disudahkan dengan baik oleh pemain berusia 22 tahun itu.

Selangor terus gigih apabila menambah gol dua minit berselang kali ini menerusi Ali Olwan yang cemerlang menyudahkan hantaran Noaa Laine.

Walau bagaimanapun, Jeonbuk berjaya merapatkan kedudukan pada minit 40 menerusi tandukan Kwon Chang-hoon untuk menewaskan Muhammad Azim Al Amin di gawang gol Selangor.

Bersambung pada separuh masa kedua, Selangor hampir mendapat gol ketiga namun percubaan Nikola Jambor hanya menggegar palang gol Jeonbuk pada minit 49.

Kedudukan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan menyaksikan skuad kendalian Nidzam Jamil itu meraih tiga mata berharga berdepan pasukan terkuat dalam saingan Kumpulan H.

Kemenangan itu meletakkan Selangor di kedudukan teratas kumpulan dengan tujuh mata dibezakan satu mata dengan Jeonbuk di kedudukan kedua.

Sekadar info, Selangor FC sekali lagi akan berdepan Jeonbuk kali ini bermain di laman lawan pada 7 November akan datang.

Sumber: Sinar Harian

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE