Penantian Malaysia selama tujuh tahun nyata membuahkan hasil setelah pasukan e-Sukan remaja negara, Selangor Red Giants (SRG) menjuarai kejohanan Mid Season Cup Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 malam tadi; sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah USD1,000,000 atau kira-kira RM4,669,303.78 berserta trofi.
Pada aksi perlawanan final yang berlangsung di Amazon Arena Riyadh, Arab Saudi itu, SRG mengenepikan saingan juara bertahan dari Filipina iaitu Team Falcons AP Bren Sport dengan keputusan 4-2.
View this post on Instagram
Bagaimanapun, laluan SRG malam tadi tidaklah semudah yang diharapkan apabila skuad negara itu terlebih dahulu tewas di pusingan pertama dengan keputusan 23-16.
SRG bangkit semula pada pusingan kedua (14-11) untuk menyamakan kedudukan 1-1 sebelum kembali tewas pada pusingan ketiga (6-22) bagi membolehkan AP Bren mendahului perlawanan dengan selesa.
Skuad di bawah kendalian Michael Angelo Bocado (Arcadia) itu tidak menjadikan situasi itu sebagai peluntur semangat mereka apabila kembali mendapat rentak dengan memenangi pusingan keempat (18-4) dan pusingan kelima yang sengit (12-11).
SRG sekali lagi menemui cabaran apabila pasukan Filipina itu menyamakan pula kedudukan dengan memenangi pusingan keenam (14-2) sekaligus mengheret kejohanan ke detik penentuan.
Di sinilah detik di mana SRG jelas berusaha bermati-matian untuk tidak membenarkan AP Bren mendominasi seperti di pusingan-pusingan terdahulu dan mereka sekaligus mengesahkan kejuaraan MSC sulung dengan keputusan 21-10!
Tambah manis apabila pemain ‘jungler’ SRG iaitu Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul (Sekyss) dinobatkan sebagai pemain paling bernilai MSC MLBB 2024.
View this post on Instagram
Terdahulu, SRG mencetuskan sensasi setelah menewaskan pasukan dari Singapura, NIP Flash di aksi separuh akhir dan menjadi pasukan e-Sukan pertama dari Malaysia yang menempah tiket ke pentas final kejohanan MLBB dalam sejarah penyertaan negara.
Tahniah Selangor Red Giants!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.