Selena Gomez Rasa Dirinya ‘Dicabuli’ Semasa Zaman Disney Oleh Jurukamera

Share

 

Bermula sebagai bintang saluran Disney, Selena Gomez merupakan pelakon dan penyanyi yang telah melalui pelbagai pengalaman sejak berusia belasan tahun lagi.

Biarpun kini baru berusia 29 tahun, kita harus ingat bahawa Selena bermula sebagai seorang pelakon dalam rancangan sitkom Wizards of Waverly Place sejak berusia 13 tahun lagi.

Lantas, Selena pernah berdepan dunia glamor sebagai remaja, membesar di bawah spotlight dan dikenali penonton seluruh dunia sebelum dia sempat menghabiskan zaman sekolah lagi.

Namun, dalam suka tersebut tentulah ada duka yang tidak begitu menarik baginya.

Sumber Foto: Vogue.

Semalam, Selena telah berkongsi kisah dengan Vogue tentang bagaimana dirinya terasa ‘dicabuli’ dan diganggu oleh orang di sekeliling semasa zaman Disney.

“Saya mula berlakon ketika berusia 10 tahun dan memegang watak Alex Russo dalam Wizards of Waverly Place pada usia 13 tahun.

“Hanya setelah saya berusia 15 tahun, paparazi (jurukamera) mula berani muncul di set penggambaran dan semasa saya sedang bercuti untuk mengambil foto (saya).”

Sumber Foto: Pinterest.

“Saya ingat lagi semasa saya ke pantai bersama beberapa ahli keluarga yang sedang bercuti di kediaman kami. Dari jauh, kami ternampak beberapa lelaki dewasa dengan kamera masing-masing sambil mengambil foto remaja berusia 15 tahun (Selena) yang sedang memakai baju mandinya,”kata Selena.

“Itu adalah satu pencabulan bagi saya.”

Tentunya sebagai seorang selebriti yang baru ingin meningkat naik, Selena perlu berdepan dengan situasi seperti ini dengan positif kerana mengakui dirinya adalah seorang ‘people-pleaser’.

“Sukar untuk selebriti tidak menjadi people-pleaser kecualilah jika kami adalah seorang lelaki.”

“Salah satu ‘tugas’ saya pada waktu itu adalah untuk menjadi sempurna. Saya dianggap sebagai ‘role model’ kepada kanak-kanak dan perlu menunjukkan contoh baik kepada mereka.

“Saya faham kepentingan tugas tersebut, namun saya rasakan situasi tersebut perlahan-lahan bertukar ‘menjadi gelap’ kerana saya tidak dikelilingi oleh orang yang benar-benar menjaga (protective) dan menyayangi saya,” kongsinya lagi kepada Vogue.

Sumber Foto: Vogue.

Kalau korang masih ingat baru-baru ini, tular kisah Justin Timberlake yang memohon maaf kepada Britney Spears kerana pernah mengheret bintang pop tersebut ke kancah kemurungan.

Malah sebelum ini, beberapa lagi bintang Disney seperti Bella Thorne dan Miley Cyrus juga pernah berdepan zaman gelap setelah popular pada usia remaja.

ARTIKEL BERKAITANPersis ‘Gaun Hati’ Ramlah Ram Di AJL! Selena Gomez Ceritakan Makna Lagu ‘De Una Vez’ – REMAJA

Adakah korang rasakan bahawa setiap selebriti yang bermula dari usia remaja ini sebenarnya tidak bahagia walaupun mereka popular di mata peminat?

Sumber : Vogue

Published by
FZ