#friendshipgoals
Ramai yang sering mengungkapkan perkataan ini tetapi sejauh manakah anda sanggup berkorban demi seorang sahabat sejati?
Ini yang berlaku pada selebriti Hollywood, Selena Gomez yang mengakui telah menerima sumbangan buah pinggang daripada sahabatnya, Francia Raisa. Dia yang mendedahkan perkara ini menerusi akaun Instagramnya turut berkongsi foto kesan pembedahan bersama kapsyen yang sangat menyentuh hati.
“Saya sedar ada para peminat mempersoalkan mengapa saya tidak mempromosikan muzik baru saya.
“Sebenarnya pada ketika itu saya diberitahu perlu mendapatkan pemindahan buah pinggang disebabkan penyakit Lupus yang dihadapi.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan juga team doktor yang hebat kerana membantu sepanjang proses sebelum dan selepas pembedahan.
“Akhir sekali, tiada kata-kata yang dapat diungkapkan kepada sahabat cantik saya, Francia Raisa di atas pengorbanan yang dilakukan olehnya. Dia telah memberikan hadiah yang tiada nilainya dengan menyumbangkan buah pinggangnya. I love you so much sis!” tulisnya.
Dalam coretannya juga, Selena memberitahu bahawa tidak ramai yang tahu tentang penyakit yang dihidapinya itu.Jadi, persoalannya apakah sebenarnya dimaksudkan dengan penyakit lupus?
Menurut data daripada Lupus Foundation of America, 1.5 juta individu di Amerika Syarikat menderita penyakit lupus. Buat anda yang mungkin tidak pernah tahu apa itu lupus, berikut merupakan tujuh fakta tentang penyakit ini.
Lupus boleh menyerang pada mana-mana anggota badan dan orang yang menghidap penyakit ini mempunyai pelbagai simptom yang berbeza-beza.
Ramai yang menderita penyakit ini pada awalnya mengalami sakit kepala, sakit-sakit otot dan lain-lain. Namun, berbeza dengan penyakit-penyakit lain, jika anda mengalami simptom ini, anda akan mengalami kesakitan yang lebih dahsyat.
Ada juga simptom-simptom lain yang boleh dilihat seperti ruam yang berbentuk rama-rama pada tulang hidung. Ruam ini merupakan satu petanda jelas tetapi tidak semua menghidap lupus mempunyai simptom-simptom ini.
Kebanyakan doktor memerlukan tempoh yang sangat lama, sekitar lima tahun untuk mendiagnosis pesakit lupus. Ini kerana simptom-simptom penyakit ini adalah pelbagai dan berbeza-beza.
Ada beberapa bahagian tubuh yang paling banyak diserang penyakit ini, antaranya adalah radang pada jantung dan paru-paru. Selain itu, buah pinggang juga sering menjadi sasaran dan inilah yang terjadi pada selebriti Hollywood, Selena Gomez.
Lupus yang menyerang buah pinggang dinamakan nefritis, yang menyebabkan radang dan tidak dapat mencuci darah dengan baik. Selain itu, lupus juga boleh menyerang kulit, sistem saraf dan sistem pencernaan.
Oleh sebab penyakit ini agak serius, ubat yang diperlukan untuk menyembuhkannya juga perlu mempunyai kesan yang kuat dan kerana itu juga, ia boleh menyebabkan kesan sampingan yang luar biasa.
Ubat ini berfungsi menghentikan sistem kekebalan yang menyerang tubuh dan memberikan risiko yang tinggi, bahkan boleh menyebabkan kanser.
Beberapa bahan makanan ternyata dapat mengaktifkan penyakit ini. Pesakit perlu mengelakkan daripada mengambil tauge kerana ia mengandungi asam amino l-canavanine yang boleh menyebabkan lupus.
Pancaran matahari boleh menyebabkan ruam pada kulit, sakit sendi dan melemahkan tubuh. Lebih baik jika anda mengenakan topi dan sunblock untuk mengelakkan cahaya matahari.
Walaupun pesakit lupus ini jarang-jarang berlaku, tetapi 90 peratus daripada pesakit ini adalah golongan wanita. Namun, belum ada penjelasan yang yang jelas tentang alasan kenapa wanita lebih banyak menderita penyakit ini.
Setelah difahami, rupa-rupanya penyakit yang dihidap oleh Selena Gomez ini agak serius juga. Untuk pengetahuan anda, beberapa selebriti lain Hollywood juga pernah menghidap penyakit ini, antaranya Kristen Johnson, Toni Braxton, Shannon Boxx dan Nick Cannon.
Semoga dengan sedikit pencerahan ini dapat membantu anda dalam mengenal pasti gejala-gejala penyakit lupus ini.
Sumber: bintang.com