Selepas dua minggu tanpa penyingkiran dalam Hero Remaja 2020, episode 3 menyaksikan kejutan apabila dua finalis telah tersingkir, iaitu Azri dan Azim menerusi cabaran ketahanan mental dan fizikal.
Bertempat di Pusat Latihan Kepimpinan UPNM Kem Kongkoi, Negeri Sembilan, 12 finalis Hero Remaja 2020 dibawa untuk menjalani mini dan maxi challenge yang berlangsung selama dua hari. Langsung tidak terfikir apakah cabaran yang akan dilakukan kali ini, kesemua finalis sebelum itu telah pun diberi ‘hint’ untuk mempersiapkan diri dari segi kecergasan dan kecerdasan bagi menjalani sesi penggambaran yang seterusnya.
Menampilkan pemenang tempat ketiga Hero Remaja 2017, Harris Annuar sebagai juri jemputan bagi Mini Challenge, peserta diuji dengan tugasan memasak yang memerlukan mereka menyiapkan hidangan ayam sebagai menu utama. Finalis diberikan kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan Hitam yang dianggotai oleh Tom, Jabir, Azri, Hariz, Jazmy dan Umar, manakala kumpulan Merah, Imran, Meerqeen, Haziq, Azim, Nadhir dan Aniq. Mereka perlu melakukan cabaran daripada menangkap ayam, menyembelih dan seterusnya memasak.
Cabaran ini telah dimenangi oleh kumpulan Merah yang diketuai oleh Imran Aqil dan disebabkan itu, dia mempunyai kelebihan untuk memilih rakan sepasukannya dan menentukan ahli pihak lawan untuk bersaing dalam Maxi Challenge.
Bagi Maxi Challenge pula, peserta perlu menempuh 11 cabaran berhalangan yang disediakan secara berkumpulan, tetapi jumlah masa yang diambil bagi menyempurnakan kesemua cabaran tersebut dinilai secara individu.
Antara halangan yang perlu dihadapi adalah monkey jump, meniti jambatan gantung, merangkak di bawah dawai besi dan banyak lagi. Kali ini, mereka diadili oleh juri jemputan, Fizo Omar.
Pergh, memang betul-betul menguji fizikal cabaran kali ini kan?
Kali ini kemenangan berpihak kepada kumpulan Hitam.
Situasi penyingkiran agak tegang apabila juri Dato’ Hans Isaac tidak begitu berpuas hati melihat sikap para finalis yang dilihatnya bersaing secara kumpulan dan bukannya individu.
“Cabaran kali ini memang lebih mencabar. Ada yang menunjukkan prestasi yang baik dan begitu juga sebaliknya. Cuma apa yang saya tidak faham apabila mereka seperti tidak mahu menang kerana dari awal sudah dimaklumkan bahawa penilaian Maxi
Challenge dibuat secara individu. Bukan tidak boleh bekerjasama tetapi mereka juga perlu faham tentang objektif untuk menang,” kata Dato’ Hans.
Kelebihan dimiliki oleh Tom dengan memperoleh masa terpantas, namun peserta ini juga turut ditegur kerana dilihat meninggalkan rakan sepasukan yang lain ketika menyempurnakan kesemua halangan.
Walau bagaimanapun, pemuda kelahiran Sarawak ini mempunyai perancangannya tersendiri, iaitu 7 halangan pertama dia bergerak seiring dengan yang lain, manakala 4 halangan terakhir dia perlu pantas untuk rekod masa individunya.
Malam penyingkiran menjadi lebih hangat apabila Scha Alyahya turut menegur Jabir Meftah apabila dua episod dan 4 cabaran yang telah dilalui, Jabir menerima banyak aduan dari peserta tentang attitudenya yang dianggap over confident.
Juri membuka ruang jika ada peserta yang ingin meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap Jabir dan beberapa finalis lain, turut membuat pengakuan tentang personalitinya itu.
Fuh, memang tegang situasi malam itu tetapi semuanya dilakukan untuk masing-masing memperbaiki diri serta belajar daripada kesilapan.
Namun begitu, Aniq, Imran, Azri dan Azim menduduki empat tangga terbawah dan sekali gus juri telah mengumumkan bahawa Azri dan Azim yang bakal meninggalkan Hero Remaja 2020.
Bagaimana pula agaknya cabaran yang akan mereka tempuhi dalam episode akan datang? Jangan lupa saksikan episod keempat Hero Remaja 2020 pada hari Khamis hadapan, jam 9 malam di saluran Astro Ria dan Ria HD. Ikuti juga segala update terbaru Hero Remaja 2020 menerusi #HeroRemaja2020 di Instagram @majalahremaja.