Setelah 26 tahun tidak pernah beraya bersama seorang ayah, tahun ini merupakan tahun yang istimewa buat finalis Dewi Remaja 2019, Myra Natasya yang bakal menyambut Aidilfitri bersama ayah kandungnya Halim Othman.
BACA: “Tak Perlu Berahsia Lagi,” – Anak Halim Othman, Myra Natasya Gembira Penantian 27 Tahun Berakhir
Myra yang ditemui di sesi pelancaran program raya Astro mendapat perhatian ramai wartawan yang ingin bertanyakan tentang kisah dua beranak itu. Menurut Myra, tahun ini dia bakal beraya bersama keluarga ayahnya di Terengganu.
“Tahun ini buat kali pertamanya selepas 27 tahun saya akan beraya di Terengganu bersama ayah dan keluarganya dan untuk kali pertama juga saya akan merasa perasaan bermaaf-maafan dengan ayah serta boleh bergambar raya bersama. Sebelum ini wartawan ada meminta gambar raya saya bersama ayah tetapi saya tidak ada walau sekeping pun kerana tidak pernah menyambut lebaran bersama-sama,”
“Saya sangat teruja untuk raya kali ini tapi dalam masa yang sama turut berasa gementar. Untuk pengetahuan semua, saya tidak pernah berjumpa sebelah ayah saya dan mereka juga tidak tahu kewujudan saya sebelum ini. Malah, mereka juga baru sahaja mengetahui tentang hal ini setelah viral di sosial media. Saya sebenarnya sangat nervous dan berharap agar semuanya berjalan dengan lancar,” jelas Myra.
BACA: “Binti Abdullah Itu Mungkin Bawa Tuah Kepada Myra,” Halim Othman Ulas Isu Tentang Anak Kandung
Myra juga turut berkongsi kisah pengalaman pertama berjumpa dengan keluarga ayahnya baru-baru ini.
“Minggu lalu saya berkesempatan untuk berjumpa dengan mereka dan tidak dinafikan perasaan pelik itu ada kerana seperti berjumpa dengan strangers tetapi mereka sebenarnya adalah ahli keluarga you. 27 tahun saya telah diambil, ada juga rasa terkilan tetapi saya sangat bersyukur kerana akhirnya kita boleh bersama lagi,”
“Untuk pengetahuan semua, keluarga sebelah ibu sayalah yang paling dewasa dan menariknya disebelah ayah saya, saya antara yang termuda kerana ayah saya merupakan anak bongsu. Jadi, saya dapat merasa perasaan bila ada sepupu yang lebih berumur daripada kita,” katanya.
Ditanya apakah perancangannya selepas ini setelah perhubungan dia dan ayahnya sudah diketahui umum, Myra berharap agar kehidupannya menjadi lebih baik dan bahagia bersama keluarga.
“Apa yang saya harapkan selepas ini adalah ‘Keluarga’ kerana saya tidak pernah mempunyai keluarga yang sempurna dan tidak pernah merasa apa perasaannya mempunyai ayah dan ibu yang sentiasa ada bersama saya. InsyaAllah raya ini saya dapat merasakan perasaan beraya bersama ayah dan ibu,” tambahnya lagi.
Alhamdulillah kami juga tumpang gembira melihat kehidupan Myra sekarang kerana akhirnya dia sudah tidak perlu berahsia lagi tentang keberadaan ayah kandungnya. Kami doakan agar hubungan Myra dan keluarga bertambah akrab dan semoga kerjayanya dalam industri hiburan juga makin berkembang. Insya Allah!
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
https://www.youtube.com/watch?v=AYk1bsTX4DU