Satu persatu hotel-hotel besar di Lembah Klang nampaknya mula ‘gulung tikar’ mungkin dek kerana impak wabak pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak dua tahun kebelakangan ini.
Terbaharu, Holiday Villa Hotel & Conference Centre Subang telah pun dihentikan operasi pada 1 Oktober lalu.
IJM Land Bhd selaku pemilik hotel dikatakan sedang memeriksa pelbagai pilihan untuk meningkatkan nilai hartanah dan menurut sumber, pemaju tidak akan menjual hotel itu kerana ia terletak pada sebidang tanah berharga di lokasi utama.
Holiday Villa Subang terletak di kawasan seluas 2.75 hektar di Jalan SS12/1 dengan pemandangan tasik dan taman rekreasi Subang Ria. Ia juga berhampiran dengan pusat perubatan Subang dan Dorsett Grand Subang yang berada tidak jauh dari hotel itu.
Hotel ini dibuka pada tahun 1988 dan dikendalikan oleh Holiday Villa Hotels & Resorts, sebuah syarikat perhotelan terkenal yang memiliki dan mengendalikan pelbagai hotel tempatan dan antarabangsa.
Namun, selepas lebih kurang 33 tahun beroperasi, syarikat pengurusan hotel ini terpaksa akur untuk menutup operasi setelah sekian lama memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia.
Sudah tentu banyak momen pahit manis yang berlaku sepanjang tiga dekad beroperasi. Apa-apa pun kami ucapkan selamat maju jaya buat seluruh warga kerja Holiday Villa Subang dan semoga ada rezeki yang lebih baik di tempat lain.
Sumber: (1)