Selepas 4 Bulan, Kontrak Datuk Seri Eizlan Yusof & Dr Ahmad Idham Bersama Kementerian Luar Ditamatkan

Share

Tanggal 1 November tahun lalu, Datuk Seri Eizlan Yusof dan Dr Ahmad Idham masing-masing dilantik sebagai Perunding Kreatif dan Setiausaha Kebudayaan di Kementerian Luar Malaysia yang diketuai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Namun begitu selepas empat bulan dalam khidmat, posisi mereka berdua di kementerian tersebut telah ditamatkan serta merta. Menurut laporan Sinar Daily, portal berita tersebut difahamkan yang penamatan tersebut berlaku dalam garis masa 24 jam yang lalu.

Walau bagaimanapun apabila ditanya mengapa kontrak dua personaliti popular itu ditamatkan, Saifuddin tidak memberikan maklumat lebih lanjut tentang perkara tersebut.

Dalam kenyataan ketika pelantikan dua personaliti tersebut di dalam Kementerian luar beliau menjelaskan bahawa pelantikan mereka berdua selari dengan objektif membangunkan Diplomasi Budaya Malaysia di bawah kerangka Dasar Luar Malaysia.

Dr Ahmad Idham sebelum ini merupakan ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bermula tahun 2019 sehingga 2021 dan seorang pelakon dan juga penerbit filem.

Manakala Datuk Seri Eizlan Yusof pula merupakan seorang pelakon terkenal yang sudah memenangi pelbagai anugerah dalam dan luar negara atas pencapaiannya sebagai anak seni.

+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber: Mstar, Sinar Daily

Published by
Fiezreen