Syukur ke hadrat Ilahi selepas 86 tahun, hari ini buat pertama kalinya umat Islam di Turki bakal menunaikan solat Jumaat di Hagia Sophia.
Dalam sidang media yang dilakukan oleh Gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya memaklumkan orang ramai sudah tidak sabar untuk menantikan detik bersejarah itu.
Walau bagaimanapun, susulan penularan wabak COVID-19, langkah-langkah pencegahan sudah dilakukan termasuklah menyediakan ruang solat berbeza bagi mengelakkan orang ramai berkumpul pada satu masa.
Mereka yang mahu melakukan solat berjemaah di masjid tersebut perlu membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka.
Kawalan ketat sudah dirancang termasuk penutupan beberapa stesen keretapi sebelum dan ketika solat Jumaat sedang berlangsung.
Bangunan Hagia Sophia atau Ayasofia dibina oleh empayar Rom Timur sebagai gereja besar pada abad keenam Masihi sebelum diubah menjadi masjid oleh kerajaan Uthmaniyah pada 1453.
Status bangunan itu sekali lagi bertukar apabila kerajaan secular Turki menjadikannya muzium pada 1934. Lebih 50 tahun kemudian, Hagia Sophia telah diiktiraf UNESCO sebagai sebahagian daripada Kawasan Bersejarah Tapak Warisan Dunia Istanbul.
Baru-baru ini juga, selepas memaklumkan Hagia Sophia bakal dibuka kepada orang awam untuk solat berjemaah, berita ini turut mendapat respon negatif daripada beberapa pemimpin dunia yang lain.
Namun, Alhamdulillah kini Hagia Sophia secara rasminya bakal membuka ruang buat orang awam menunaikan solat Jumaat pada hari ini.
Sumber: Astro Awani
Rezeki Rider! Rakyat Malaysia Sumbang Tip RM2.4 Juta Masa PKP
Inilah dikatakan rezeki yang sudah tertulis buat penghantar makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara bermula Mac lalu.
Di saat keadaan ekonomi menggusarkan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), kemurahan hati rakyat Malaysia tetap terserlah.
Sepanjang tempoh itu, pemandu dan penghantar Grab dilapor menerima tip terkumpul berjumlah lebih RM2.4 juta.
Jumlah keseluruhan sumbangan tip ini mencatatkan peningkatan sebanyak 75 peratus berbanding tempoh sebelum PKP, kongsi syarikat e-hailing Grab di laman web rasmi.
Malah, seorang pengguna aplikasi itu dilapor menyumbang tip berjumlah RM500 sebagai tanda penghargaan.
“Tidak kira apa pekerjaan atau situasi anda, kita semua boleh saling membantu antara satu sama lain.
"Ia hanya memerlukan satu tindakan baik,” kata pengguna itu dalam komennya yang dikongsikan di laman web Grab.
Lembah Klang merekodkan jumlah pengguna paling ramai menyumbang tip dengan lebih RM160,000 secara kumulatif.
Ia diikuti Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuching.
Sementara itu, Kuala Terengganu pula mencatatkan purata tip tertinggi bagi setiap tempahan menerusi aplikasi itu.
Menurut Grab, analisis mereka mendapati trend sumbangan tip semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sepanjang pelaksanaan PKP, satu tip direkodkan dalam 30 tempahan menerusi Grab berbanding satu tip bagi setiap 100 tempahan sebelum tempoh PKP.
Secara purata, rakyat Malaysia menyumbang tip berjumlah lebih RM30,000 setiap hari kepada pemandu dan penghantar Grab.
Rata-rata rakyat semakin banyak menggunakan perkhidmatan penghantaran barang dan makanan apabila premis perniagaan perlu ditutup dan rakyat dikehendaki duduk di rumah bagi mengekang penularan COVID-19.
Antara semua perkhidmatan yang disediakan Grab, penghantaran makanan atau GrabFood meraih sumbangan tip tertinggi dengan jumlah kumulatif lebih RM2 juta.
Ekoran trend pemberian tip yang semakin meningkat, Grab kini membenarkan pengguna memberi tip ketika perjalanan masih berlangsung.
Ini bermakna pengguna tidak perlu lagi menunggu sehingga perjalanan atau perkhidmatan diselesaikan untuk menyumbang tip. Sumber : Astro Awani / Foto : Sam Fong
Penembak Rambang Masjid Di Christchurch, NZ Terima Balasan! Brenton Di Penjara Seumur Hidup
Masih ingatkah tentang tragedi berdarah di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand pada Mac 2019?. Dalam, tragedi menyayat hati sekitar jam 1.45 waktu tempatan, masyarakat Islam yang sedang bersesak untuk menunaikan solat Jumaat dikejutkan dengan lepasan puluhan tembakan secara rambang oleh Brenton Tarrant yang bersenjatakan M-16.
Dalam kejadian menyayat hati itu, 51 jemaah di Masjid Al Noor terkorban termasuk seorang remaja berasal dari Malaysia, allayarham Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17 yang pada awalnya dilaporkan hilang kemudiannya disahkan antara yang terkorban. Malah ada juga rakyat Malaysia yang alami kecederaan parah.
Budi pekerti Perdana Menteri New Zealand, Jacinta Ayden memperlihatkan toleransi dan memberikan ucapan salam “Assalamualaikum” ketika membuka sidang parlimen negaranya tahun lalu mendapat pujian dunia. Cara Jacinta menangani isu ini juga sangat mengagumkan. Malah dapat dilihat juga ramai masyarakat di sana yang bersama-sama berkumpul beramai-ramai menjaga umat Islam bersolat Jumaat dengan “membuat kepungan” bagi memastikan umat Islam selesa bersolat dan mahu mengelak kejadian sama berulang lagi.
Setahun setengah selepas kejadian itu, dalam perbicaraan marathon selama empat hari, pelaku yang pernah mengemparkan dunia iaitu Brenton Tarrant hari ini dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa mendapat pembebasan bersyarat. Ia satu hukuman paling lama pernah pernah kenakan dan pertama kali diperkenalkan bagi menghilangkan terma pembebasan bersyarat yang sebelum ini banyak digunakan.
Dalam perbicaraan mahkamah yang diputuskan oleh Hakimi Cameron Mander, perbuatan Brenton, warga Australia yang merancang melepaskan tembakan secara rambang di dua masjid iaitu di Masjid Al Noor dan Linwood, Christchurch sesuatu yang sukar diterima.
“Tiada perasan kasih di hati engkau. Perbuatan ini sangat kejam dan menakutkan. Malah tindakan ini seolah bukan manusia, “,kata Hakim Cameron sebelum menjatuhkan hukuman kepada Brenton. Ini kerana jelasnya, tindakan tersebut melukakan hati banyak pihak termasuk ahli keluarga yang kehilangan kasih sayang selepas meninggal akibat tragedi terbabit.
Dalam perbicaraan dikatakan pelaku Brenton Tarrant yang mempunyai masalah Islamfobia dikatakan sangat emosi dan memutuskan untuk membalas dendam.
Malah ketika ditanya oleh Hakim ada apa-apa yang ingin dikatakannya, Brenton hanya menyebut “tidak, terima kasih”.
Dalam pada itu, pihak pendakwaraya berkata, hukuman tanpa parol ini adalah terbaik untuk Brenton kerana dia sememangnya sudah merancang mahu membalas dendam dan perlakuannya juga normal, tidak dipengaruhi sesiapa.
“Dia jelas pembunuh paling kejam dalam sejarah New Zealand,” tegas Zarifeh kepada Sky News semalam.
Malah ketika berhadapan dengan ahli keluarga mangsa, Brenton seolah tiada emosi dan dia hanya menundukkan wajahnya sahaja.
Jangan Berat Mulut Berselawat, Allah Jamin Syurga Di Akhirat Jika Kita Rajin Mengucapnya
Dalam kalendar Hijrah, kita kini memasuki Rabiulawal. Jika sesetengah kita lebih senang mengetahui kita kini berada di bulan November tetapi Rabiulawal ini lebih bermakna kerana ia merupakan ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Jika dahulu dunia berada dalam kegelapan tanpa agama, kekufuran, menyembah berhala dan tidak mengenal siapa penciptaNya namun kelahiran Baginda Nabi pada 12 Rabiualawal, nyata mampu membawa rahmat yang besar ke seluruh alam iaitu penyebaran agama Islam ke seluruh pelusuk dunia.
Sebagai insan kamil yang memiliki keperibadian cukup tinggi, Rasulullah adalah contoh ikutan yang wajib kita ikuti kerana di akhirat kelak, hanya dengan syafaat Baginda kita berpeluang memasuki syurga Allah (moga kita semua terpilih memasukinya).
Mengenang perjuangan Rasulullah, maka setiap tahun kita akan meraikan sambutan Maulidur Rasul. Tahun ini 12 Rabiulawal jatuh pada 29 Oktober ini (Khamis). Tema untuk sambutan Maulidur Rasul tahun ini “Ummah Rabbani, Negara Harmoni”. Berbeza dengan sambutan tahun terdahulu, tahun ini ia tidak diadakan kerana pandemic COVID-19.
Apa di sebalik Maulidur Rasul yang wajib kita ambil tahu?
Bukan hanya bercuti pada hari itu sahaja tetapi sebenarnya kita akan menjadi orang yang rugi jika tidak mengetahui apa pentingnya Maulidur Rasul dalam diri kita sebagai umat Islam?
Maulidur Rasul membawa maksud hari kelahiran rasul kita iaitu Nabi Muhammad SAW. Baginda lahir pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah. Seperti yang kita ketahui, Nabi Muhammad SAW, merupakan individu paling berpengaruh di dunia.
Seorang tokoh terkenal iaitu Michael H. Hart telah menerbitkan sebuah buku yang bertajuk 100: Kedudukan Tokoh Paling Berpengaruh dalam Sejarah pada tahun 1978. Ia menyenaraikan kedudukan 100 orang tokoh, yang dalam pendapatnya, merupakan manusia paling berpengaruh dalam sejarah.
Ternyata Nabi Muhammad SAW diletakkan sebagai individu paling berpengaruh dunia mengalahkan tokoh-tokoh lain seperti Isaac Newton (ahli fizik, penemu teori graviti semesta & hukum gerakan), Christopher Columbus (ahli pelayaran terkemuka), Albert Einstain, Aristotle (ahli falsafah Yunani berpengaruh) dan banyak lagi. Hebatkan Rasulullah kita.
Ini keperibadian Rasulullah yang kita semua sayangi
Kenapa perlunya kita berselawat ke atas Nabi agar kita tidak menjadi orang yang rugi di hari akhirat kelak.
Seperti kita ketahui, keperibadian Rasulullah SAW memang tiada tolok bandingnya.
Menurut Saidina Ali r.a, Rasulullah itu sifatnya :
* Mudah tersenyum
*Akhlaknya baik
*Lemah lembut orangnya
*Bahasa percakapannya tak pernah kasar (baginda Nabi Muhammad SAW tak pernah keluarkan bahasa kesat atau kotor sepanjang hayatnya)
* Perangainya tak bengis
* Tak suka menjerit-jerit
* Tak suka mengherdik
* Tak kedekut
* Kalau ada perkara tidak disukai Baginda, wajahnya akan bersahaja dan tidak akan menunjukkannya
* Tak pernah menolak permintaan orang yang berhajat. Nabi Muhammad SAW akan berusaha sampai tidak kira yang menjemputnya itu orang miskin papa kedana sekali pun.
Ini dinyatakan dalam satu peristiwa di mana Nabi sedang menggali kubur untuk Perang Khandak. Disebabkan makanan tidak mencukupi, hanya Baginda dan beberapa sahabat dijemput. Memikirkan dirinya dijemput dan masa yang sama tidak sampai hati orang lain tidak dijemput dan diberi makan, Rasulullah telah mengajak kesemuanya pergi ke rumah dinyatakan. Dengan mukjizat Baginda, ternyata semua orang dapat makan dan makanan mencukupi.
Ia antara sebahagian sifat keperibadian Rasulullah seperti dinyatakan dalam buku IKON TERBAIK, (ringkasan berkaitan peribadi, adab dan akhlak Nabi Muhammad SAW yang dikarang oleh Syeikh Abu Al-Hassan Ali al-Nadwi.
Jika dilihat mengenai wajahnya pula, Nabi Muhammad SAW digambarkan sebagai seorang lelaki yang cukup sempurna.
* Wajahnya bak bulan purnama, dadanya bidang. Rupa paras Baginda bersinar-sinar umpama bulan purnama pada waktu malam.
* Kulitnya sangat halus. Anas RA yang berkata, aku tidak pernah menyentuh kain sutera yang lebih lembut daripada tangan Rasulullah dan aku juga tidak pernah mencium wangian yang lebih wangi daripada keharuman tubuh Baginda.
*Giginya putih bersih
* Janggutnya kehitaman
*Lebat bulu keningnya
Kenapa rugi jika kita mulut kita jarang berselawat Nabi?
Kenapa ia perlu menjadi perkara penting dalam hidup kita sebagaimana kita beranggapan makan itu penting, tidur itu penting, mencari duit itu penting? Ini samalah dengan BERSELAWAT KE ATAS NABI MUHAMMAD ITU JUGA SANGAT PENTING UNTUK HARI AKHIRAT KITA.
Kenapa berselawat Nabi itu penting kerana IA RUKUN DALAM SOLAT LIMA WAKTU & RUKUN WAJIB KETIKA BACAAN KHUTBAH. Jika tidak dilakukan, solat dan khutbah batal.
“Betapa pentingnya selawat ini sehingga Allah perintahkan ia rukun wajib dalam solat. Malah rukun wajib dalam bacaan khutbah juga. Malah Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, terdapat dua golongan manusia yang akan paling hampir dengan baginda Nabi adalah orang yang paling banyak berselawat dan paling baik akhlaknya.
Ini sesuai dengan hadis riwayat Tarmidzi, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Orang yang paling dekat denganku di hari kiamat nanti adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.
Antara lain, orang yang paling hampir denganku ialah orang yang baik akhlaknya.
Jadi biasakan diri berselawat ke atas Nabi dan setiap kali kita terdengar nama Nabi Muhamamad SAW disebut, maka sambutlah ia dengan sebutan sallahualahiwassalam.
Tahukah, jika lidah kita sentiasa basah dengan zikir dan selawat maka Allah akan melimpahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian ke atas Nabi Muhammad SAW maka Allah akan membalas selawat kita itu dengan cara menurunkan rahmat, berkat serta kemuliaan kepada orang yang selalu melakukannya.
Biar ada percanggahan bolehkah sambutan Maulidur Rasul dibuat, ada pro dan kontranya kerana kerana Allah dan Malaikat sendiri memuliakan Rasulullah SAW dan ia tidak salah diraikan.
Nabi pernah bersabda, “Sesiapa berselawat kepadaku sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali (HR Muslim).
Jjika Allah Pencipta seluruh Alam memuliakan Nabi, tidak ada kesalahan kita mengadakan sambutan Maulidur Rasul itu sendiri.