Selepas Bergelar Pensyarah, Kini Najwa Latif Sambung PhD Di UKM

Share

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Cinta Muka Buku, Najwa Latif kini menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Najwa yang kini memegang tanggungjawab sebagai seorang pensyarah mengakui, misinya apabila meneruskan pengajian pada peringkat PdD ini tidak lain tidak bukan adalah demi terus mengejar ilmu selain memajukan diri sebagai seorang pendidik profesional.

Instagram: Najwa Latif

“Saya percaya semakin kita belajar, semakin kita sedar betapa sedikitnya ilmu yang kita tahu. Ilmu itu sangat luas dan tidak pernah ada penghujung,”

“Walaupun setelah tamat PhD nanti, saya rasa saya masih akan hendak terus belajar dan belajar lagi. Semua ini untuk kepuasan diri dan memajukan diri sebagai pendidik serta individu.

“Saya bersyukur dapat peluang sambung belajar lagi, terlalu seronok. Tapi ini permulaan baharu untuk terus memperbaiki diri dalam subjek yang sangat saya cintai, TESL,” memetik daripada laporan portal tempatan.

Gadis berusia 26 tahun ini khabarnya masih dalam proses menentukan topik penyelidikan yang ingin dikaji bagi melengkapkan tesisnya nanti.

Instagram: Najwa Latif

“Setakat ini, saya hendak fokuskan penyelidikan dalam lapangan pembelajaran bahasa Inggeris menerusi platform atas talian. Tetapi saya masih belum berbincang dengan penyelia. Belum putuskannya lagi sebab saya baru saja tamat hadiri taklimat pengajian minggu ini,” jelasnya.

Najwa tidak menafikan dia cukup teruja apabila memikir akan gelaran doktor yang bakal diperolehinya nanti. Bukan saja itu menjadi bekalan motivasinya, ia juga satu pencapaian yang  luar biasa untuk Najwa yang pernah satu ketika dahulu tidak begitu meminati bidang akademik.

Tahniah Remaja ucapkan kepada Najwa Latif dan semoga kejayaan yang dikecapinya ini menjadi inspirasi buat anak muda untuk lebih berjaya dalam pelajaran.

Walaupun mempunyai minat dan berbakat dalam bidang seni, Najwa tidak pernah mengabaikan pelajarannya dan berusaha mencapai kejayaan di peringkat yang lebih.

Sumber: (1)

Published by
Noor Ain Norman