Kurang dari tempoh sebulan berlalu selepas ahli grup K-pop Big Bang, G-Dragon berangkat untuk melunaskan tanggungjawab menyertai latihan ketenteraan selama 2 tahun. Kini tiba giliran ahli grupnya, Taeyang untuk melakukan perkara yang sama.
Taeyang yang baru berkahwin pada awal Februari lalu didapati melaporkan diri untuk menyertai latihan ketenteraan pada hari ini. Berita tersebut tersebar selepas dia tiba di pusat latihan rekrut Divisi Infantri ke-6 pada jam 1.45 petang waktu Korea Selatan. Turut sama berada di situ ialah para peminat dan rakan media yang ingin memberikan sokongan.
Taeyang memilih gaya sama seperti G-Dragon pada hari melaporkan diri dengan memakai pakaian serba hitam. Mungkin kerana dia ingin kekal low profile dan tidak inginkan terlalu banyak perhatian.
Sebelum memasuki kompaun pusat rekrut tersebut, Taeyang sempat mengucapkan selamat tinggal kepada staf YG Entertainment dan juga bersalaman dengan peminat yang menunggu sejak awal pagi lagi.
Menariknya, oleh kerana ramai peminat dari luar negara di sana, dia didapati berturut dalam bermacam-macam bahasa berbeza bersama mereka.
Taeyang berdiri di hadapan crowd tersebut dan berkata, “Saya akan kembali semula dengan sihat,” sebelum memberikan salam hormat dan perpisahan.
Suasana tersebut nyata membuatkan netizen merasa sedih kerana mereka perlu menunggu 2 tahun lamanya sebelum boleh bertemu dengannya semula.
Di akaun Instagram, Taeyang juga sempat untuk memuat naik poster lagu terbaru Big Bang – ‘Flower Road ‘dengan pesanan, “Saya akan kembali dengan sihat. Untuk kamu semua, pilihlah jalan yang penuh berbunga (jalan yang baik).”
Flower Road akan menemui peminat Big Bang pada hari esok, pada jam 6 petang waktu Korea Selatan.