Selepas Insiden Remaja Palestin Ditembak, Israel Terus Hina Ramadan Di Masjidil Aqsa

Share

Saban tahun, umat Islam dunia seakan tidak boleh lari daripada dugaan yang perlu dihadapi setibanya bulan Ramadan Al-Mubarak.

2021 tidak terkecuali apabila seorang remaja Palestin berusia 16 tahun maut ditembak pada hari Rabu minggu ini oleh tentera Israel.

Kejadian yang berlaku berhampiran bandar Nablus dekat utara Tebing Barat ini tercetus setelah penunjuk perasaan Palestin bertembung dengan  tentera Israel di Kampung Oudla, di selatan Nablus.

Punca di sebalik pertempuran tersebut hadir daripada pihak tentera Israel sendiri yang m menyerang kawasan kediaman penduduk Palestin atas alasan memburu seorang lelaki Palestin yang melepaskan tembakan ke arah kenderaan warga Israel, awal minggu ini sehingga mengakibatkan kecederaan.

 

Biarpun tiada kaitan dengan insiden terdahulu, kehilangan nyawa remaja yang tidak bersalah ini menjadi petanda awal terhadap bentuk serangan yang menanti penduduk Islam Palestin beberapa hari kemudian.

Semalam, tentera Israel telah merobek kemuliaan bulan Ramadan yang masih berbaki empat hari lagi dengan menceroboh ke dalam Masjidil Aqsa dan menyerang penduduk Palestin yang berada di dalam. Lebih menyedihkan apabila kejadian ini berlaku pada Jumaat terakhir Ramadan, tahun ini.

Sumber Foto : SiasatDaily

Selain menceroboh, pihak tentera turut melemparkan bom asap, menyerang dan juga menembak para jemaah dengan peluru getah semasa jemaah sedang beribadah. Tindakan biadap itu sekaligus memaksa penduduk Palestin yang turut terdiri dalam kalangan jemaah wanita dan kanak-kanak untuk berlindung dan terperangkap di dalam masjid.

Susulan insiden ini, 178 orang penduduk Palestin dilaporkan cedera manakala 88 orang lagi dikejarkan ke hospital setelah dipercayai terkena peluru getah yang ditembak oleh tentera Israel.

Sumber Foto : Al Jazeera

Insiden di tanah suci ketiga umat Islam ini dikatakan berpunca daripada tentangan rakyat Palestin terhadap Israel yang merancang untuk merampas rumah dan tanah kediaman mereka di Timur Baitulmaqdis.

Sehingga kini, banyak video serangan tersebut telah tular di internet sehingga mengakibatkan warganet dunia mengecam serangan Israel itu.

Sumber : (1) (2) (3)

Published by
FZ