
Pernah menyangka tidak sempat menduduki SPM akibat menghadapi kanser, namun Mohamed Adam Baihaqi Mohamed Zadro (19) membuktikan segalanya mungkin dengan semangat kental apabila dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM 2024 di SMK Bachok selepas memperoleh semua A, meskipun terpaksa ‘ponteng’ sekolah hampir setahun untuk menjalani rawatan.
Menurut laporan Sinar Bestari, segalanya bermula pada Mac 2023 apabila Adam disahkan menghidap kanser dan perlu berulang-alik ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi menjalani enam sesi kemoterapi.
Disebabkan rawatan intensif, Adam kerap tidak hadir ke sekolah dan pernah terpaksa melupakan persekolahan selama hampir setahun. Meskipun begitu, semangatnya untuk bangkit tidak pernah luntur.
“Saya pernah terfikir tidak sempat menduduki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan akan meninggal dunia selepas disahkan menghidap kanser pada Mac 2023,” katanya.
“Selepas terpaksa ponteng sekolah selama setahun kerana perlu fokus kepada rawatan di HRPZ II (Hospital Raja Perempuan Zainab II), melihat rakan-rakan sekelas sudah menduduki SPM dan menyambung belajar, pada waktu itu saya rasa sangat sedih,” luahnya yang kini menjadi inspirasi pelajar di luar sana.
Walau bagaimanapun, segalanya berubah pada Julai 2024 apabila beliau disahkan bebas daripada kanser. Berbekalkan semangat baru, Adam kembali ke sekolah dan fokus sepenuhnya untuk mengejar impiannya menduduki peperiksaan SPM, membuktikan bahawa kesukaran bukan alasan untuk gagal.
Menurut Adam, pengorbanan besar bapanya, Mohamed Zadro Mohd Salleh (50) seorang peniaga santan, dan ibunya, Suzila Abdullah (47) seorang suri rumah telah menjadi pembakar semangat utamanya untuk berjaya.
“Untuk mengubati kanser perlukan wang yang banyak, ayah dan ibu hanya bekerja biasa. Bagaimanapun mereka sanggup buat apa sahaja untuk saya, dari situlah semangat untuk mengulangkaji bersungguh-sungguh hadir,” jelasnya.
“Alhamdulillah, rakan-rakan serta guru-guru banyak membantu sehingga saya berjaya memperoleh semua A dalam tujuh mata pelajaran yang diambil iaitu Bahasa Melayu (A-), Sejarah (A-), Matematik (A), Bahasa Inggeris (A), Geografi (A), Pendidikan Islam (A), dan Sains (A),” tambah Adam.
Sementara itu, Adam juga memasang cita-cita untuk melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) demi merealisasikan impiannya menjadi seorang pendidik.
Baginya, kejayaan ini adalah hadiah istimewa buat kedua ibu bapanya serta rakan-rakan dan guru-guru yang tidak pernah putus memberi sokongan dan doa.
Sumber: Sinar Bestari
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.