
Korang masih ingat tak kes kebakaran pusat tahfiz kira-kira tiga tahun lalu?
Paling sadis, kebakaran itu didakwa berpunca oleh dua orang remaja yang berusia 16 tahun ketika itu.
Terbaru, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendapati seorang remaja berusia 19 tahun, suspek utama dalam insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, di sini yang mengorbankan 21 pelajar dan dua warden sebagai bersalah.
Menurut laporan Astro Awani, mereka yang kini berumur 19 tahun masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Selain itu, memandangkan jenayah itu dilakukan ketika tertuduh berusia 16 tahun, maka Seksyen 97 Akta Kanak-kanak 2001 terpakai, dan remaja berkenaan dikenakan perintah tahanan selama yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong.
Peguambela Haijan Omar memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa anak guamnya sangat menyesal atas kejadian yang berlaku dan memohon maaf kepada semua yang terlibat, terutama sekali ahli keluarga mangsa yang terkorban.
Ujarnya lagi, pihaknya akur dengan keputusan mahkamah, dan akan memfailkan rayuan di peringkat seterusnya dalam mangsa yang terdekat.
Untuk info, tragedi menyayat hati ini berlaku pada 14 September 2017 apabila kebakaran di bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah meragut nyawa 23 penghuninya.
Bagi REMAJA, semua yang berlaku ada hikmahnya, semoga mahkamah buat keputusan yang bijak. Semoga ada keadilan buat keluarga mangsa dan semoga siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa berjalan dengan lancar. InsyaAllah.
Siling Rumah Bocor! Siapa Kena Tanggungjawab Kalau Owner Tingkat Atas Tak Nak Baiki

Isu siling rumah bocor terutama bagi rumah bertingkat memang menjadi masalah utama jika penyelesaian baik tidak diterima dari pemiliki rumah atas. Dirinya mungkin mendakwa bukan lantai bilik airnya bocor atau cuba menangguhkan pembaikian tersebut dengan alasan tidak punya wang lagi.
Jika kebocoran siling rumah masih serius, pada siapakah kita hendak mengadu? Peguam Hartanah, Salkukhairi Abd Sukor yang juga Timbalan Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Literasi Undang-undang Malaysia (K-LITERASI) berkongsi info apa boleh kita lakukan jika berlaku masalah ini.
Kebocoran siling pada rumah strata. Siapa yang kena bertanggungjawab?
Kebocoran pada siling rumah pasti tidak asing bagi pemilik rumah strata seperti apartment, kondominium dan lain-lain.
Sebenarnya terdapat undang-undang khusus tentang isu “inter-floor leakage” (kebocoran antara tingkat) atau dengan kata lain air penyebab bocor pada siling rumah strata.
Dalam Peraturan Pengurusan Strata 2015, ia didefinisikan sebagai apa-apa keterangan mengenai kebasahan, kelembapan atau penembusan air pada siling atau apa-apa bahan yang diletakkan atau dipasang pada siling (Peraturan 55).
Apa yang patut dilakukan jika pemilik mendapati terdapat kebocoran pada siling rumah strata mereka?
1. Buat aduan kepada pihak pengurusan (atau pemaju jika masih lagi dalam waranti).
2. Pemeriksaan akan dijalankan oleh pihak pengurusan/ pemaju di unit anda untuk mencari penyebab kebocoran dan siapa yang harus dipertanggungjawabkan. (Peraturan 57).
3. Seksyen 142 Akta Pengurusan Strata 2013 menyatakan, jika kebocoran terdapat pada siling rumah anda, maka unit di atas yang harus dipertanggungjawabkan jika tiada bukti yang menunjukkan sebaliknya.
4. Ini bukan bermakna automatik unit di atas yang mengakibatkan kebocoran. Justeru itu, pihak pengurusan boleh menjalankan pemeriksaan lanjut di unit tersebut demi mempercepatkan proses siasatan.
5. Bagaimana pula jika pemilik rumah enggan unitnya diperiksa oleh pihak pengurusan?
Menurut Peraturan 63, Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata 2015, sekiranya pemilik unit di atas anda tidak memberi akses ke unitnya untuk pemeriksaan, maka pemilik berkenaan boleh didapati bersalah dan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000.00 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.
6. Jika berlaku kebocoran tersebut, daripada siapa kita boleh tuntut kerugian tersebut?
Ini bergantung sama ada harta tersebut masih dalam tempoh liabiliti kecacatan atau tidak.
Jika belum tamat tempoh liabiliti kecacatan, maka pemajulah yang perlu bertanggungjawab ke atas kerosakan itu manakala sekiranya sudah tamat tempoh liabiliti kecacatan dan terbukti unit di atas anda yang menyebabkan kebocoran, pemilik unit tersebutlah yang bertanggungjawab.
7. Kalau si pemilik unit tersebut gagal membaiki kebocoran itu sehingga menyebabkan pihak pengurusan terpaksa membaikinya, maka pihak pengurusan boleh tuntut kos pembaikan itu ditanggung oleh si pemilik unit itu.
Peraturan 61 dalam Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata 2015 jelas menyatakan :
“(1) Jika kebocoran antara tingkat disebabkan oleh atau dikenal pasti berpunca daripada suatu petak atau mana-mana bahagian daripadanya, pembeli, pemunya petak atau pemilik petak itu, tanpa prejudis kepada haknya untuk mendapatkan indemniti dari mana-mana pihak lain, hendaklah mengambil semua langkap perlu untuk membaiki kebocoran antara tingkat itu dalam masa tujuh hari dari penerimaan Borang 28.
“(2) Sekiranya langkah-langkah yang dinyatakan dalam subperaturan 61(1) tidak dilaksanakan, mana-mana pemaju, badan pengurusan bersama, perbadanan pengurusan atau perbadanan pengurusan subsidiary atau ejen pengurusan yang dilantik oleh Pesuruhjaya di bawah subseksyen 86(1) atau 91(3) Akta, mengikut mana-mana yang berkenaan dengan, hendaklah secepat yang dapat dilaksanakan mengambil semua langkap perlu untuk membaiki kebocoran antara tingkat itu dan hendaklah mengenakan caj dan mendapatkan semua kos dan perbelanjaan dari pihak yang bertanggungjawab untuk membaiki kebocoran itu”.
*********************
Soalan tambahan yang selalu ditanyakan:
1. Jika pemilik unit atas tidak mahu bertanggungjawab setelah terbukti daripada siasatan kebocoran berpunca daripada pihaknya dan setelah diminta oleh JMB untuk berbuat demikian, apa yang patut di lakukan?
Jawapan:
JMB boleh baiki kerosakan tersebut. Segala kos pembaikan akan dituntut daripada pemilik yang menyebabkan kebocoran tersebut.
Jika dia tidak mahu bayar, JMB boleh failkan tuntutan Undang-undang terhadap pemilik tersebut atau memfailkan tuntutan di Tribunal Pengurusan Strata.
2. Jika pemilik dah buat aduan kepada JMB tetapi JMB enggan ambil tindakan sepatutnya , apa yang boleh pemilik lakukan?
Jawapan:
Pemilik boleh buat aduan rasmi kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) di majlis perbandaran/ majlis daerah.
COB akan siasat dan boleh arahkan pembaikan dibuat sekiranya terbukti pihak pihak gagal melaksanakan kewajipan tersebut.
Jika masih gagal pemilik boleh buat laporan polis dan tindakan undang-undang di bawah Akta pengurusan hakmilik strata boleh diambil ke atas JMB.
Pemilik juga boleh failkan tuntutan di Tribunal Pengurusan Strata.
3. Bagaimana pula jika kebocoran itu berlaku pada unit yang paling atas? Siapa yang perlu bertanggungjawab?
Jawapan:
Jika kebocoran itu berpunca dari dalam rumah sendiri, pemilik yang kena baiki melainkan ianya berlaku dalam tempoh waranti dengan pemaju.
Jika bocor berpunca daripada bahagian luar bangunan / atap luar atau berpunca daripada kawasan common area, pemaju/ jmb perlu bertanggungjawab untuk baiki.
Moga perkongsian ini bermanfaat.
Terima kasih.
Akak Ini Ucap “TAHNIAH” Kepada Media Kerana Buang Sampah Di Hospital, Ada Lebih Berani Hisap Vape

Semalam kebanyakan dari kita menyaksikan secara live pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat pengampunan Diraja atas pertuduhan dengan niat politik yang dihadapinya sejak 20 tahun lalu.
Berita pembebasannya bagai dinantikan dan masa yang sama, begitu ramai wartawan termasuk orang ramai berkumpul di Hospital Rehabilitasi Cheras bagi menyaksikan sendiri pembebasan yang dianggap begitu bersejarah bagi Malaysia yang kini dikuasai oleh Pakatan Harapan.
Mungkin mahu berita lebih eksklusif tetapi masa yang lama juga mungkin membuatkan sebahagian warga media dan orang ramai makan dan minum sambil menunggu detik pembebasan tersebut. Bukan saja makan dan minum dan kemudian membuat sepah tanpa masukkan sampah ke dalam tong sampah, ada yang lebih berani menghisap vape di perkarangan hospital.
Namun tindakan sebahagian media ini mendapat ucapan tahniah yang amat padu dari warga Kementerian Kesihatan sendiri.
Tahniah kepada media..Saya menghormati hak anda dalam mendapatkan berita untuk rakyat,tapi sila la bertanggungjawab. Setelah DSAI keluar, anda pun keluar meninggalkan sampah di DEPAN lobi wad..tong sampah hanya kurang 10 langkah dari tempat tin tin anda.
Malah ada yang merokok di depan itu.
Tahniah!
Mungkin tak tahan dengan sikap individu yang mementingkan diri sendiri ini, apa yang boleh dilakukannya hanya menegur dan memberi ucapan tahniah yang kita sendiri boleh faham maksud mendalamnya.
Untuk lebih pengetahuan, hospital sudah diwartakan sebagai tempat larangan merokok dan individu yang ditangkap merokok boleh dikenakan hukuman mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Tidak hanya di hospital tetapi ada beberapa kawasan awam seperti Lapangan Terbang, Stesen Pengangkutan Awam, Premis Kerajaan dan banyak lagi. Dendanya boleh mencapai RM250 dan jika engkar dan dibawa ke mahkamah, dendanya boleh mencecah RM1000. mengikut Peraturan 11(1)(g) Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” katanya.
Berita ini turut dikongsi oleh Public Health Malaysia yang turut memaparkan warga kerja media yang selamba menghisap vape di perkarangan hospital biarpun kawasan itu sudah diwarta sebagai kawasan larangan merokok sepenuhnya.
PM Lanjut Moratorium PTPTN Tiga Bulan, Pakej Data Kepada Pelajar IPT

Berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 minggu lalu, Perdana Menteri Malaysia sebentar tadi mengumumkan satu bantuan yang dikenali sebagai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang akan diperkenalkan bagi membantu rakyat dan ekonomi.
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, pakej bantuan bernilai 15 bilion ringgit ini akan menambah baik inisiatif yang berterusan serta mempercepatkan inisiatif yang berkaitan.
Sebanyak 22 inisiatif di bawah PERMAI, berteraskan tiga matlamat utama – PM @MuhyiddinYassin#PERMAI pic.twitter.com/sIUAYsqZKj
— BERNAMA (@bernamadotcom) January 18, 2021
Demi mengurangkan beban, kerajaan bersetuju memberikan lanjutan masa bayaran semula pinjaman PTPTN selama tiga bulan pertama tahun ini susulan daripada penularan wabak COVID-19 di Malaysia.
Oleh itu, pelajar bolehlah menangguhkan pembayaran semula sehingga 31 Mac ini.
Bagi peminjam PTPTN yang terjejas akibat wabak COVID-19 dan bencana banjir, keputusan moratorium ini tentunya sedikit sebanyak membantu mengurangkan bebanan mereka.
PTPTN: Mereka terjejas boleh memohon moratorium bayaran balik pinjaman selama tiga bulan sehingga 31 Mac – PM @MuhyiddinYassin pic.twitter.com/yk14pZSZdl
— BERNAMA (@bernamadotcom) January 18, 2021
Selain itu, kerajaan juga mengumumkan perlanjutan tempoh capaian internet percuma dengan kerjasama industri telekomunikasi sepanjang musim PKP.
“Pemberian data 1 Gigabit secara percuma telah diberi kepada orang ramai untuk melayari laman web, termasuklah untuk tujuan pendidikan. Kemudahan yang bernilai 500 juta ringgit ini telah bermula pada 1 Januari 2021 dan akan dilanjutkan sehingga hujung April 2021,” jelas beliau.
Bukan itu saja, pakej langganan khas untuk pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM akan diperluaskan kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Pakej ini juga akan disediakan sehingga hujung April 2021.
Terima kasih!