Seluar Jadi Trend Untuk Pagi Raya Tahun Ini, Senang Nak ‘Ligat’ Di Dapur

Share

Tinggal 33 hari saja lagi sebelum kita memasuki bulan Ramadan Al-Mubarak pada tahun ini, insyaAllah.

Walaupun masih berbaki lebih sebulan, rakyat Malaysia telah disajikan dengan pelbagai rekaan koleksi pakaian raya tahun ini oleh pereka fesyen tanah air.

Perkara tersebut tidaklah mengejutkan kerana keluaran tiga bulan lebih awal seperti ini sudah menjadi ‘adat’ dalam dunia fesyen.

Namun, apa yang menarik perhatian ramai adalah kepelbagaian bentuk, saiz dan potongan pakaian raya yang diperkenalkan pada tahun ini. Bukan saja baju kurung moden yang melekap pada tubuh boleh korang beli, malah banyak juga jenama fesyen tanah air yang menawarkan seluar sebagai alternatif kepada sarong baju kurung.

Senanglah nak ‘beraksi’ di dapur pada pagi raya nanti! Bukan senang tau nak masak rendang sekuali.

Jom lihat rekaan berseluar pilihan REMAJA tahun ini.

Rico Rinaldi

Semalam telah menyaksikan pelancaran koleksi #summeraya2018 dan koleksi eksklusif Bespoke Raya 2018 oleh Rico Rinaldi. Tahun ini, buat koleksi tahunan Summeraya, Rico telah mengambil inspirasi gaya yang lebih relaks. Masih ada pilihan dress labuh dan baju kurung untuk pilihan korang, namun yang lebih mencuri tumpuan penulis semalam adalah koleksi sedondon blaus dan seluar labuh. Cantik!

 

Mimpi Kita

Mimpi Kita merupakan salah satu jenama yang terlibat untuk projek koleksi Abaya oleh Fashion Valet. Bakal diperkenalkan di Dubai UAE, koleksi yang juga boleh didapati secara online di laman web ini mempertaruhkan DNA Mimpi Kita yang ampuh dengan keselesaan, potongan yang menyebelahi si pemakai dan gabungan warna serta corak menarik.

 

Rizman Ruzaini

Turut terlibat dalam koleksi Abaya itu adalah jenama eksklusif Rizman Ruzaini. Berbeza dengan pilihan bercorak seperti yang lain, mereka mengekalkan identiti glam namun masih selesa dipakai di mana-mana acara sepanjang musim perayaan kelak. Malah, tak keterlaluan jika penulis sifatkan rekaan koleksi ini sebagai universal dan pelbagai guna.

 

Aere

Seringkali, penulis dijamah dengan rekaan ready-to-wear oleh Aere. Namun, untuk koleksi raya ini yang turut dijual di Fashion Valet, ada sesuatu yang berbeza pada rekaannya. Masih mengekalkan stail sofistikated meskipun ringkas, ia bagaimanapun tampak lebih remaja, moden dan penuh dengan perincian potongan pada baju dan seluarnya. Aere juga memperkenalkan koleksi hijab #aerescarf pada kali ini.

 

Rizalman

Tidak perlu diperkenalkan lagi jenama fesyen hebat negara ini. Rizalman berjaya memancing hati dan perhatian peminat fesyen (dan peminat Izara Aisyah) seluruh negara apabila memilih kebudayaan dari india sebagai elemen utama untuk koleksi #rizalmanforzalora ini. Bukan saja pertunjukan fesyennya masih menjadi bualan mulut ramai netizen di luar sana, malah dengar cerita koleksi ini terjual laris di online. Tahniah!

* * * * *

Jadi, jenama pakaian raya berseluar mana yang paling korang suka?

Published by
FZ