Para peminat siri Netflix Alice In Borderland sememangnya tidak asing lagi dengan pelakon kacak, Kento Yamazaki. Baru-baru ini, musim kedua Alice in Borderland telah dikeluarkan secara rasmi.
Kento Yamazaki kembali sebagai watak utama dalam karya tersebut. Kento Yamazaki ialah seorang anak seni dan model Jepun yang mempunyai pengalaman dalam industri hiburan. Keperibadiannya yang berkarisma dan peranannya yang licik dalam filem sering menjadi perhatian penonton. Ini antara fakta menarik mengenai Kento Yamazaki:
ARTIKEL BERKAITAN: Anggun Dan Ayu Pelakon ‘Layangan Putus’, Ini Fakta Menarik Tentang Putri Marino
Berkecimpung dalam dunia hiburan sejak remaja
Kento Yamazaki dilahirkan di Itabashi, Jepun pada 7 September 1994. Ketika masih di sekolah menengah, Kento bertemu dengan seorang pencari bakat dari agensi Stardust Promotion. Pada mulanya, dia menyangka salah seorang pekerja daripada agensi itu berniat untuk menipunya, jadi pelakon itu tidak menjawab dan terus pulang ke rumah. Tanpa disangka, agensi itu masih mengekorinya ke rumah. Dia kemudian ditawarkan untuk menyertai agensi tersebut. Berkat sokongan ibunya, Kento bersetuju dengan peluang yang diberikan buatnya.
Memulakan kerjaya sebagai model
Kerjaya awal Kento Yamazaki dalam dunia hiburan adalah sebagai seorang model. Dia bekerja sebagai model untuk majalah wanita, Pichi Lemon. Pada mulanya, dia mengakui gementar ketika pertama kali melakukan penggambaran, kerana ia dilakukan di dalam bilik yang besar dan luas dengan suasana sibuk dan disaksikan ramai. Kerjayanya di Pichi Lemon bermula dari tahun 2009 hingga 2011, dan akhirnya memutuskan untuk menceburi dunia lakonan.
Melebarkan sayap dalam dunia lakonan
Kemunculan sulung lakonan Kento Yamazaki bermula pada tahun 2010 apabila dia dilakonkan dalam siri TV Atami no Sousakan sebagai pelajar sekolah menengah yang misteri. Setahun kemudian, Kento terlibat dalam karya Control Tower, yang merupakan filem pertamanya. Pada tahun 2012, Kento berlakon dalam filem Wings of the Kirin. Kepakarannya dalam bidang lakonan membuatkan dia berjaya diberi kepercayaan untuk menjadi watak utama dalam filem thriller seram Another, dia bersaing berlakon dengan gandingannya dalam filem Control Tower Ai Hashimoto.
Berkat kemahiran lakonannya yang ada, Kento terus ‘dilamar’ untuk membintangi pelbagai filem dan siri TV pada tahun-tahun berikutnya, seperti Kiss that Kills, siri TV Good Doctor, dan banyak lagi.
Kento Yamazaki juga memenangi beberapa anugerah, termasuk Pendatang Baru Tahun Ini di Hadiah Filem Akademi Jepun ke-39, Pelakon Terbaik di Anugerah Akademi Drama Televisyen ke-98, Pendatang Baru Asia Tahun Ini di Beijing IQiyi Scream Night Award, serta memasuki Forbes Asia 100 Bintang Digital 2020.
Nama Terus Dikenali Menerusi Alice in Borderland
Kerjaya figura tinggi lampai itu terus melonjak naik apabila dia membintangi siri Netflix Alice in Borderland. Dia memegang watak utama sebagai Ryohei Arisu. Drama ‘survival’ itu mendapat respons positif daripada pengkritik dan penonton filem. Dalam tempoh sebulan, drama lakonan Kento telah ditonton oleh 18 juta orang sejak ditayangkan pada Disember 2020. Kento Yamazaki juga semakin popular dan diiktiraf secara meluas sebagai pelakon Jepun kelas pertama oleh peminat antarabangsanya.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Kento Yamazaki