Penularan COVID-19 kini yang semakin pantas dengan ribuan kes dilaporkan setiap hari semestinya membimbangkan setiap lapisan masyarakat di Malaysia.
Peningkatan ketara melibatkan tempat kerja pada gelombang tiga ini.
Sebentar tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan pengumuman telah mengumumkan beberapa negeri ada yang dikenakan Perlaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang di tunggu rakyat Malaysia sejak beberapa hari ini.
Perintah ini melibatkan tiga peringkat pelaksanaan seperti berikut:
a) Pertama, PKP ke atas enam (6) buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.
b) Kedua, PKP Bersyarat (PKP-B) ke atas enam (6) buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
c) Ketiga, PKP Pemulihan (PKP-P) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.
Menurut Perdana Menteri dalam perutusan tadi juga, kita perlu mematuhi SOP walaupun kita sudah menemui vaksin.
Malah, pergerakan rentas daerah juga adalah dilarang sama sekali bagi negeri yang dikenakan PKP yang bermula 13 Januari sehingga 26 Januari akan datang.
“Pergerakan rentas negeri adalah tidak dibenarkan di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga tidak dibenarkan.”
Beberapa aktiviti atau sektor masih dilarang
Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sidang media sebentar tadi turut menyatakan bahawa aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai adalah tidak dibenarkan.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian COVID-19. Antara aktiviti sosial yang tidak dibenarkan adalah kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan.