Dalam menyambut bulan kemerdekaan ini, seorang wanita daripada Ipoh, telah mencuri perhatian ramai dengan semangat patriotismenya.
G Rajspari, atau lebih dikenali sebagai Ratha, telah menghias seluruh kediamannya dan kereta Proton Kembara miliknya dengan bendera Jalur Gemilang.
Menerusi laporan media tempatan, idea wanita yang kini berusia 62 tahun ini untuk menghias rumahnya dengan jalur gemilang mula timbul kira-kira empat tahun lalu semasa pandemik.
ARTIKEL BERKAITAN: Manisnya Tengku Afzan Mengenakan Hijab! ‘Simple’ & Cantik
“Pada masa itu, kami tidak dibenarkan keluar dan untuk mengisi masa lapang, saya fikir adalah baik untuk menghias rumah dengan bendera negara kita,” jelas Ratha.
Tidak hanya di rumah, Ratha juga menghias Proton Kembara miliknya dengan bendera Jalur Gemilang. Semasa memandu di sekitar Ipoh, Ratha sering menerima kata-kata semangat dan lambaian daripada orang ramai.
Sehubungan itu, sokongan yang diterimanya itu secara tidak langsung telah membuatkan Ratha berasa sangat terharu dan dihargai.
“Apa yang paling menggembirakan saya adalah melihat sokongan dan penghormatan yang diberikan apabila mereka melihat kereta saya. Ada yang melambai, ada juga yang menunjukkan tanda penghormatan,” kata ibu kepada tiga anak ini.
Walaupun perlu mengeluarkan wang untuk menggantikan bendera yang mungkin telah pudar, semangat patriotisme Ratha tetap kukuh.
Justeru, dia berharap tindakannya itu dapat memberi inspirasi bukan hanya kepada anak-anaknya tetapi juga kepada generasi muda untuk sentiasa menghargai asal usul dan mencintai negara.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: Harian Metro