Jika sebahagian umat Islam gembira meraikan aidilfitri yang bakal disambut beberapa hari lagi, tanda kemenangan selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan, perasaan ini tentunya agak sukar bagi Samuri Basri dan seluruh ahli kelaurganya.
Mengakui hatinya begitu sedih kerana baru kehilangan anak, Muhamad Azizil Alim, 24 yang maut dalam kemalangan jalan raya apabila melanggar belakang lori dalam kejadian Sabtu lalu di Jalan Persekutuan Teluk Intan – Klang berhampiran Panchang Bedena, Sabak Bernam.
“Biasa saya bantu angkat mangsa kemalangan yang berlaku depan mata, tapi kelmarin, saya angkat jenazah anak sendiri. Seluruh jiwa saya rasa pilu, setiap kali mengenangkan kebaikan arwah anak yang begitu rapat dengan kami sekeluarga,” katanya lagi.
Samuri berkata, dia mengetahui kemalangan itu apabila ahli keluarga terdekat datang ke rumah dan memaklumkan perkara berkenaan.
“Waktu itu, saya sedang tidur sebelum sepupu mengetuk pintu rumah dan memaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan,” katanya.
Menurut Samuri, sebaik tiba lokasi kejadian, dia terasa dunia seakan gelap apabila melihat jasad anaknya di lokasi kejadian.
“Saya kuatkan hati dengan mengangkat jenazah ke dalam trak polis dan mengiringinya sehingga ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ),” katanya dalam suara amat sedih.
Lebih menyedihkan lagi, beberapa hari sebelum anaknya itu pergi, dia terbayangkan wajah anak kelima dari enam beradik itu hadir dalam solat terawihnya.
“Bayangan itu muncul tiga hari sebelum kemalangan ini berlaku. Ia tidak pernah begini. Semasa sujud pada rakaat kelapan, saya lihat dengan jelas wajah arwah (Muhamad Azizil) sedangkan selama ini tidak pernah terbayang perkara sebegitu sehingga air mata ini mengalir tanpa disedari ketika solat itu.
“Saat itu, saya jangkakan berlaku perkara tak diingini kepada arwah dan sangkaan itu benar-benar menjadi kenyataan,” katanya memaklumkan kemalangan menimpa anaknya itu berlaku sekitar jam tiga pagi.
Sementara itu, ibu Muhamad Azizil, Nurini Jamali, 58, berkata, mangsa sempat menjamah lauk kegemarannya ayam masak kicap ketika berbuka puasa.
“Semasa makan, saya perasan arwah hanya makan sedikit berbanding hari sebelumnya. Malah, dia tidak memandang muka saya sewaktu menjamu selera,” katanya.
Arwah disifatkan sebagai seorang yang pendiam selain mendengar kata dan mengambil berat keadaan keluarga.
Jenazah Muhamad Azizil disembahyangkan di rumahnya pada jam 10.30 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Makmuriah.
Sumber : SINAR HARIAN