Pelakon berkaliber, Mimi Lana mendedahkan dia menangis selama hampir seminggu selepas terpaksa memotong pendek rambutnya demi menjayakan watak menerusi filem The Experts.
Berkata kepada Remaja, dia pada ketika itu berasa tidak yakin pada diri dan sedikit kekok dengan imej tersebut.
“Waktu saya potong rambut untuk The Experts ini, saya rasa hampir seminggu saya menangis. Sebab saya rasa tak boleh terima dan tak boleh carry dengan gaya rambut itu.
“Jadi, baru sekarang ini saya nak rasa rambut panjang balik. Tolong jangan suruh saya potong rambut lagi,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon naskhah hit Perempuan Itu turut berpendapat imej berambut pendek kurang sesuai dengannya dan akui mengambil masa untuk menyesuaikan diri.
“Mungkin saya dah biasa rambut panjang dan tak pernah berambut pendek. Saya rasa kali terakhir saya rambut pendek, waktu saya sekolah dulu. Bila mereka minta saya potong rambut pendek, mulanya saya yakin.
“Okey boleh la! Tapi bila dah potong, saya rasa tak ada benda yang dapat tutup diri saya. Ini kali pertama saya rasa macam itu.
“Setiap kali bangun pagi, saya rasa ‘oh no, this is not me
, tak sesuai dengan diri saya’. Saya rasa tak yakin dengan diri sendiri. Tapi lama-lama saya kena terima lah,” ujarnya.Sementara itu, disoal adakah sanggup memotong lagi rambutnya jika mendapat bayaran tinggi dalam mana-mana tawaran, Mimi menjawab dia akan melihat dari segi skrip terlebih dahulu.
“Insya-Allah, (potong rambut jika dapat bayaran tinggi). Kita kena tengok la bayaran itu, berbaloi ke tak. Kita kena tengok skrip juga.
“Kalau skrip itu menuntut kita berambut pendek, tak boleh panjang, kita kena potong lah. Apa-apa pun kita tengok pada skrip lah,” tuturnya lagi.
Sekadar info, filem aksi heist, The Experts terbitan Astro Shaw bersama ZAK Capital dan TGV Pictures bakal menemui penonton bermula 23 Mei ini di pawagam seluruh negara.
Selain Mimi, The Experts turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Maya Karin, Remy Ishak, Ray Dap Dap dan ramai lagi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Mimi Lana